Kerja korekan jalan tidak patuh SOP, DBKL ambil tindakan

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 10 notis kompaun terhadap lima kontraktor pembinaan selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam pelaksanaan kerja korekan dan penyelenggaraan jalan awam menerusi Operasi Korekan Jalan Awam Siri 10/2026.

Operasi berkenaan dijalankan di beberapa lokasi sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membabitkan Lebuh Raya Bukit Jalil, Jalan Syed Putra, Jalan Sungai Besi dan Jalan Cheras bermula jam 11 malam pada Jumaat lalu hingga 3.30 pagi keesokan harinya.

DBKL dalam kenyataan berkata, pemantauan dan pemeriksaan dilakukan bagi memastikan kerja pembaikan serta penyelenggaraan oleh kontraktor mematuhi syarat dan kelulusan yang ditetapkan di tapak operasi.

“Antara kerja yang dipantau termasuk pemasangan paip, penurapan jalan, pembaikan saluran longkang serta kerja utiliti membabitkan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi,” menurut kenyataan itu.

Katanya, hasil pemeriksaan di enam lokasi mendapati terdapat beberapa pelanggaran SOP dilakukan kontraktor.

“Antara kesalahan dikenal pasti termasuk gagal menyediakan lampu amaran (blinker), tiada pengawal lalu lintas, menyebabkan kerosakan laluan pejalan kaki, menutup jalan tanpa kebenaran, menggunakan lori tanpa permit mengangkut bahan binaan serta menyebabkan laluan jalan awam menjadi kotor.

“Daripada jumlah kompaun yang dikeluarkan, dua notis membabitkan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 manakala lapan lagi mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya.

DBKL berkata, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pengguna jalan raya sentiasa terjamin.

Sehubungan itu, orang ramai juga boleh menyalurkan aduan atau maklum balas melalui portal aduan DBKL dipautan https://adukl.dbkl.gov.my/



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img