SEORANG lelaki ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 14 sebuah apartmen di Jalan Batu Lintang, Kuching sebelum tubuhnya tersangkut di tingkat empat bangunan dalam kejadian petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, mangsa berusia lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.15 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang lelaki berusia lingkungan 40-an tersangkut di tingkat empat bangunan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba turut membantu menguruskan lokasi kejadian sebelum kes diserahkan sepenuhnya kepada polis untuk siasatan lanjut.





