Terperdaya pelaburan ‘robot AI’, pesara lesap hampir RM1 juta

HASRAT seorang pesara kerajaan untuk menikmati pulangan lumayan daripada pelaburan dalam talian berakhir dengan kerugian RM914,209 selepas dipercayai diperdaya sindiket yang menggunakan sistem dagangan automatik berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa lelaki berusia 56 tahun itu pada jam 2.20 petang semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tertarik dengan iklan pelaburan yang dipromosikan menerusi Facebook oleh sebuah syarikat pada 22 Disember 2025.

“Mangsa kemudian berhubung dengan seorang individu dikenali sebagai ‘Kamil’ sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang dikendalikan beberapa individu lain yang mendakwa mewakili syarikat pelaburan terbabit.

“Mangsa dipujuk menyertai pelaburan melalui platform dikenali sebagai Setia Capital Trading dengan modal permulaan RM300,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek mendakwa pelaburan berkenaan diurus menggunakan sistem AI Robot Auto-System Trade yang kononnya mampu menjana keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.

Katanya, bagi meyakinkan mangsa, suspek memaparkan keuntungan pelaburan yang kononnya meningkat sehingga RM87,124.

“Namun sebelum keuntungan itu boleh dikeluarkan, mangsa diminta membuat pelbagai bayaran termasuk yuran jualan balik, perlindungan keselamatan bank, bayaran naik taraf dan caj lain atas alasan bagi tujuan pengeluaran dana.

“Suspek turut memberi jaminan semua bayaran itu akan dipulangkan bersama keuntungan pelaburan,” katanya.

Muhamad Rizal berkata, mangsa yang mempercayai tawaran berkenaan melakukan sebanyak 88 transaksi ke 32 akaun individu berbeza membabitkan enam bank dalam tempoh 22 Disember 2025 hingga 6 Mac 2026 dengan jumlah keseluruhan RM914,209.

Menurutnya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal memperoleh sebarang keuntungan atau mendapatkan semula modal pelaburan sebelum tampil membuat laporan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img