SEORANG lelaki tempatan ditemukan meninggal dunia dalam kereta di hadapan sebuah restoran di Jalan Kemunting di ibu negara pagi ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 9.54 pagi.
“Seorang lelaki berusia 49 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta di hadapan restoran di Jalan Kemunting.
“Mayat sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat yang dijalankan pada jam 2 petang tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Terdahulu, video penemuan mayat berkenaan dalam sebuah kereta dikongsikan dalam media sosial.






