SEORANG lelaki maut ditikam rakannya selepas berlaku pertengkaran antara mereka di kawasan tapak pembinaan di belakang sebuah bilik pameran kenderaan di Iramanis di Kota Kinabalu awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa yang merupakan warga asing berusia 34 tahun ditikam sebanyak empat kali oleh suspek sebelum mayatnya dibuang dalam lubang pembetung.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 1.40 pagi sebelum laporan polis dibuat pada jam 2.23 pagi.
“Siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu keluar bersama suspek pada sebelah pagi untuk minum minuman keras di kawasan Penampang dan kedua-duanya pulang ke rumah kongsi kira-kira jam 11 malam.
“Bagaimanapun, berlaku pertengkaran antara keduanya yang dipercayai berpunca daripada salah faham ketika mereka sedang mabuk.
“Mangsa dipercayai memukul suspek menggunakan sebatang kayu sebelum suspek bertindak balas dengan menikam mangsa sebanyak empat kali menggunakan sebilah pisau pemotong sayur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Lot berkata, selepas kejadian itu, suspek dipercayai melarikan diri manakala mangsa ditemukan di dalam sebuah lubang pembetung berhampiran lokasi kejadian.
“Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Sabah telah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.
“Sementara itu, usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan,” katanya.
Katanya lagi, kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Syed Abdul Rahman Syed Mohsin di talian 012-310 6882 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.






