Video tular Kancil: Pemandu maut alami masalah kesihatan, bukan mabuk

POLIS mengesahkan pemandu Perodua Kancil yang tular memandu secara berbahaya sebelum terbabit dalam kemalangan maut di Parit Sempadan, Semerah, semalam bukan dipengaruhi alkohol, sebaliknya dipercayai mengalami masalah kesihatan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia 72 tahun itu mengalami masalah kesihatan, namun penyakit sebenar yang dihidapinya masih belum dapat dipastikan.

Menurutnya, kemalangan berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari di Kilometer 127, Jalan Johor Bahru-Melaka berhampiran Parit Sempadan, Semerah.

“Dalam nahas itu, pemandu Perodua Kancil meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu sebuah Nissan Sentra berusia 21 tahun mengalami kecederaan.

“Daripada siasatan dijalankan, polis mendapati warga emas itu mengalami masalah kesihatan dan bukan mabuk. Bagaimanapun, penyakit yang dihidapinya belum dapat dipastikan lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi satu minit 52 saat memaparkan Perodua Kancil dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum merempuh sebuah Nissan Sentra.

Susulan video itu, seorang lelaki yang dipercayai anak kepada pemandu terbabit tampil menjelaskan bapanya berkemungkinan mengalami serangan hipoglisemia akibat paras gula dalam darah yang menurun.

Menurutnya, bapanya sebelum ini beberapa kali mengalami serangan penyakit berkenaan ketika berada di rumah.

Beliau turut memaklumkan ahli keluarga tidak mengetahui bapanya keluar dari rumah di Muar pada hari kejadian kerana tidak memaklumkan hasratnya, selain panggilan telefon yang dibuat kepadanya tidak dijawab.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img