Polis klasifikasi isu ibu didakwa dihalau ketika majlis sekolah sebagai ROA

POLIS mengklasifikasikan isu membabitkan dakwaan seorang wanita dihalau ketika menghadiri majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Yarl pada 27 Jun lalu sebagai kes Rujuk Agensi Lain (ROA).

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada kedua-dua pihak iaitu pengurusan sekolah dan wanita terbabit berhubung insiden berkenaan.

“Kami menerima laporan daripada pihak pengurusan sekolah dan wanita berkenaan. Kes diklasifikasikan sebagai ROA (Rujuk Agensi Lain),” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Terdahulu, pihak pengurusan SMK Taman Yarl memaklumkan laporan polis dibuat pada hari kejadian sebagai langkah melindungi nama baik sekolah, guru serta seluruh komuniti sekolah susulan dakwaan yang tular di media sosial.

Menurut kenyataan sekolah, dakwaan wanita terbabit disifatkan menjejaskan reputasi sekolah, selain tindakan undang-undang akan dipertimbangkan berdasarkan bukti bergambar dan rakaman video yang didakwa dimuat naik oleh wanita berkenaan.

Pihak sekolah turut menafikan dakwaan bahawa wanita itu dihalau daripada majlis berkenaan.

Menurutnya, tiada arahan atau tindakan menghalau mana-mana ibu bapa sepanjang majlis berlangsung, malah semua tetamu diraikan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Sekolah juga menafikan dakwaan kononnya tiada kerusi disediakan dan hanya seorang ibu atau bapa dibenarkan mengiringi anak menerima anugerah.

Katanya, sepanjang majlis berlangsung pihak sekolah berusaha memastikan kelancaran program termasuk menyediakan makan dan minum kepada tetamu.

“Pihak sekolah kekal komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada murid dan ibu bapa serta menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, wanita berkenaan memaklumkan beliau turut membuat laporan polis selepas mendakwa aduannya kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) tidak mendapat perhatian.

Beliau berkata, laporan itu dibuat bagi menjamin keselamatan anak-anaknya yang didakwa menerima ugutan susulan isu berkenaan.

Menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook, wanita itu turut mendakwa pihak sekolah menghubunginya untuk mengadakan pertemuan.

“Dalam pertemuan itu, pihak sekolah ada menawarkan untuk menarik balik laporan polis. Mereka minta untuk anggap satu sama lain seperti ‘adik’ dan ‘abang’,” katanya.

Beliau turut menjelaskan anaknya masih belajar di sekolah berkenaan kerana tidak mahu mengganggu persiapan menghadapi peperiksaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img