Tiga penyamun menyamar polis tumpas, samun warga Bangladesh RM8,000

TINDAKAN tiga lelaki menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun seorang warga Bangladesh berakhir dengan penahanan mereka dalam tempoh beberapa jam selepas kejadian di daerah Manjung, Ipoh, pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang di Pantai Remis itu, mangsa berusia 45 tahun kerugian RM8,000 selepas dipaksa menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail sebelum wang tunainya dilarikan suspek.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa membuat laporan polis pada jam 8.06 malam hari sama dengan mendakwa disamun dua lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Menurutnya, mangsa dipaksa masuk ke dalam SUV dalam keadaan tangan bergari sebelum beg miliknya dirampas.

“Suspek mengugut mangsa kononnya akan membawanya ke Balai Polis Pantai Remis untuk pemeriksaan lanjut, namun mangsa mula mengesyaki dirinya disamun apabila kenderaan tidak menuju ke balai polis, sebaliknya melalui laluan lain.

“Mangsa kemudian bertindak memulas stereng kenderaan sehingga terbabas ke bahu jalan di Batu 12, Segari dekat Lumut sebelum kedua-dua suspek melarikan diri dengan membawa wang tunai miliknya selepas menahan sebuah motosikal yang melalui kawasan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dengan kerjasama Balai Polis Pantai Remis dan Balai Polis Segari berjaya menahan tiga lelaki di Jalan Besar Gunung Tunggal, Changkat Keruing pada kira-kira jam 8.30 malam hari yang sama.

Katanya, polis turut merampas sebuah Nissan X-Trail, beberapa telefon bimbit, kad ATM, wang tunai, gari, kad kuasa Polis Bantuan serta pelbagai barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, curi, curi kenderaan, mencederakan, ugutan serta kesalahan berkaitan dadah.

“Siasatan awal turut mendapati dua daripada suspek mengaku terbabit dalam kejadian samun berkenaan,” katanya.

Mohd Alwi berkata, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Julai bagi membantu siasatan.

Kes disisasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dan menyamar sebagai penjawat awam.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan kumpulan berkenaan turut terbabit dalam beberapa lagi kes samun menggunakan modus operandi sama di daerah lain di Perak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Munawarrah Ahmad di talian 011-1624 0391 atau Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-689 9222 bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img