Kes murid ditikam : ‘Nama anak saya di nombor 10 dalam senarai’ – Bapa mangsa

REMAJA perempuan yang cedera dalam insiden tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting semalam didakwa antara individu yang tersenarai sebagai sasaran suspek berdasarkan dokumen yang tular di media sosial.

Perkara itu disahkan bapa mangsa, Mohd Firuz Ibrahim, 43, yang memaklumkan nama anaknya berada pada kedudukan ke-10 dalam senarai berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesahihan dokumen itu masih belum dapat dipastikan dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Nampaknya nama anak saya ada dalam senarai itu di nombor 10,” katanya ringkas.

Beliau berkata, sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada senarai berkenaan ditulis sendiri oleh suspek, diperoleh daripada pihak lain atau sengaja direka-reka.

Katanya, beliau juga sudah memberikan keterangan kepada polis bagi membantu siasatan.

Semalam, Mohd Firuz memaklumkan anak perempuannya mengenali suspek berusia 15 tahun itu kerana mereka pernah belajar dalam kelas yang sama tahun lalu, namun menafikan anaknya menjadi sasaran utama serangan berkenaan.

Mengulas dakwaan yang mengaitkan kejadian itu dengan kes buli, beliau menegaskan anaknya bukan seorang pembuli dan jarang keluar rumah tanpa ditemani ibu atau bapanya.

“Keluarga kami juga tidak mengenali keluarga suspek dan setakat ini belum ada sebarang hubungan atau pertemuan antara kedua-dua keluarga.

“Bagaimanapun, kami terbuka sekiranya ada cadangan untuk mengadakan pertemuan,” katanya.

Sementara itu, polis masih belum mengesahkan kesahihan foto beberapa dokumen termasuk senarai nama yang tular dan didakwa mempunyai kaitan dengan kejadian tikaman berkenaan.

Terdahulu, seorang murid perempuan berusia 15 tahun ditahan polis selepas dipercayai menikam rakan sekolahnya menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting kira-kira jam 9.50 pagi semalam.

Mangsa mengalami beberapa kesan tikaman pada bahagian belakang badan dan bahu sebelum dikejarkan ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan.

Keadaannya dilaporkan stabil, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img