Lebih 75,000 mesin perlombongan kripto haram dirampas sejak 2022 – Shamsul Anuar

SEBANYAK 75,578 unit mesin perlombongan mata wang kripto haram dirampas menerusi 3,049 serbuan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sejak 2022 hingga Mei lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, dalam tempoh sama, seramai 629 individu turut ditahan hasil operasi bersepadu yang dilaksanakan.

Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui PDRM akan terus memperkukuh strategi penguatkuasaan dengan memberi tumpuan kepada aspek pencegahan awal, risikan serta penggunaan teknologi bagi mengesan lokasi yang disyaki menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto secara haram sebelum operasi dilaksanakan.

“Kerjasama strategik bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Tenaga, pihak berkuasa tempatan serta agensi penguatkuasa lain akan terus dipertingkatkan, khususnya dari segi perkongsian maklumat, pelaksanaan operasi dan penyelarasan tindakan bagi memastikan penguatkuasaan lebih pantas serta berkesan,” katanya pada sesi pertanyaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai usaha kerajaan membanteras kegiatan perlombongan mata wang kripto haram, termasuk penggunaan teknologi bagi mengesan aktiviti berkenaan.

Mengulas mengenai faktor kegiatan itu terus berulang, Shamsul Anuar berkata, permintaan tinggi terhadap mata wang kripto selain nilainya yang sentiasa berubah menjadikan aktiviti berkenaan berpotensi memberikan pulangan lumayan kepada sindiket.

“Bagaimanapun, faktor keuntungan tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan jenayah termasuk mencuri bekalan elektrik melalui penyambungan haram,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, cadangan untuk meminda atau memperketat peruntukan Akta Bekalan Elektrik adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Katanya, KDN bersedia memberikan pandangan dan kerjasama dalam sebarang usaha menambah baik perundangan serta mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan tindakan terhadap kegiatan perlombongan mata wang kripto haram dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img