SEORANG lelaki warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini selepas mengaku bersalah menyeleweng 5,808 liter diesel tanpa kebenaran, April lalu.
Hakim Roslan Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Nai Thet Naung, 38, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Myanmar.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa bermula dari tarikh tertuduh ditangkap selain semua barang rampasan dilucuthakkan kepada kerajaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyimpan barang kawalan iaitu diesel sebanyak 5,808 liter di sebuah stor tidak bernombor bersebelahan Lot 2970A, Mukim 16, Lorong Perusahaan Sungai Lokan di Butterworth kira-kira jam 4.30 petang pada 15 April lalu.
Perbuatan itu dilakukan tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.
Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.
Bagi kesalahan pertama, peruntukan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Preeya Darrsini dengan dibantu Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Hilmi Abu Hassan.






