Rumah mewah jadi transit migran, JIM tahan 15 individu

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan dua sindiket penyeludupan migran menerusi dua operasi khas berasingan di Kuala Lumpur dan Selangor yang membawa kepada penahanan 15 individu termasuk seorang lelaki tempatan dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi pertama dijalankan sekitar Cap Square Centre, Kuala Lumpur pada jam 12.30 tengah malam, 7 Julai lalu hasil risikan selama sebulan.

Beliau berkata, serbuan di dua premis kediaman mewah itu membawa kepada penahanan 10 warga Bangladesh berusia antara 23 hingga 43 tahun termasuk dua lelaki yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis.

“Hasil semakan mendapati seorang daripada mereka memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara sektor pembinaan, manakala dua wanita yang ditahan telah disenarai hitam oleh JIM namun dipercayai masuk semula ke negara ini melalui pintu masuk yang tidak diwartakan.

“Selebihnya tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pihak JIM turut menyita tiga pasport Bangladesh milik individu lain serta wang tunai RM1,595 yang dipercayai hasil kegiatan sindiket.

Beliau berkata, sindiket menjadikan premis kediaman mewah sebagai rumah transit sementara bagi menempatkan migran yang memasuki negara ini secara haram sebelum dihantar ke destinasi masing-masing.

“Rumah transit itu dikawal oleh penjaga warga asing yang menguruskan penempatan sementara sehingga urusan pembayaran selesai.

“Kadar bayaran yang dikenakan antara RM700 hingga RM1,500 bagi setiap migran dan kegiatan ini dipercayai beroperasi sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Zakaria berkata, kedua-dua penjaga premis disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala migran lain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.

Dalam operasi kedua yang dijalankan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur dan Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada hari sama bermula jam 5.30 petang, JIM menahan seorang lelaki tempatan dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ bersama empat lelaki warga India.

Katanya, siasatan mendapati seorang daripada warga India itu pernah disenarai hitam JIM namun masuk semula ke negara ini secara haram, manakala tiga lagi tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Pihak JIM turut menyita dua telefon bimbit, empat pasport India dan sebuah Perodua Bezza yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan migran,” katanya.

Menurut beliau, sindiket dipercayai membawa masuk warga India melalui laluan tidak diwartakan sebelum mereka diambil oleh ‘transporter’ di hentian bas untuk dihantar ke lokasi ditetapkan.

“Kegiatan ini dipercayai beroperasi sejak tahun lalu dengan mengenakan bayaran RM6,000 bagi setiap migran,” katanya.

Beliau berkata, lelaki tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala warga asing disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Zakaria menegaskan JIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran demi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan negara terus terpelihara.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img