SEJUMLAH 61.5 tan metrik daging babi sejuk beku bernilai RM6.2 juta dirampas dalam serbuan Op Taring Chiller dijalankan polis di sebuah premis di Miri semalam.
Operasi berkenaan dijalankan susulan maklumat mengenai sebuah gudang penyimpanan pelbagai jenis makanan sejuk beku di negeri terbabit.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam serbuan itu seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun turut ditahan di premis berkenaan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya merampas 61,548 kilogram (61.5 tan metrik) daging babi sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM6,197,060.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dan satu kompaun sebanyak RM25,000 dikeluarkan mengikut seksyen sama.
“Operasi itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap kegiatan menyimpan makanan sejuk beku yang tidak diketahui status halal dan pengedaran produk makanan yang tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi dilakukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan bantuan Cawangan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Bahagian Miri pada jam 8 malam.
Beliau berkata, pihaknya melaksanakan 201 serbuan di seluruh negara dengan seramai 375 individu ditahan sejak 1 Januari hingga kini.
Katanya, ia atas pelbagai kesalahan membabitkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, makanan sejuk beku, penyeludupan hidupan liar serta operasi e-waste.
“Sepanjang tempoh berkenaan, jumlah keseluruhan rampasan direkodkan dianggarkan bernilai RM264,864,070.51,” katanya.






