
DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini berkongsi kisah menyentuh hati mengenai seorang kanak-kanak yang sanggup meredah ladang kelapa sawit bersama neneknya demi bertemu beliau di Segamat, baru-baru ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri berkata, pertemuan singkat dengan Muhammad Afif Ikhwan, 9, ketika program di Felda Palong Timur itu meninggalkan kesan mendalam sehingga beliau meminta supaya menziarahi kanak-kanak itu dan menghadiahkan sebuah basikal.
“Impian yang barangkali kecil pada pandangan kita, namun cukup besar untuk menggerakkan neneknya, Rosimah Mohammad meredah ladang kelapa sawit dengan motosikal demi memenuhi hasrat cucunya itu.
“Tangan kecilnya menyelit di celah khalayak dan kami bersalaman dan membawanya ke pentas di Felda Palong Timur, Segamat, baru-baru ini.
“Saya tidak menyangka bahawa detik yang begitu singkat itu membawa makna besar buat Afif,” kata Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, walaupun sibuk dengan urusan pentadbiran negara, beliau tetap mahu Muhammad Afif disantuni bagi menghargai kesungguhan kanak-kanak itu.
Perdana Menteri turut berharap pertemuan itu menjadi kenangan yang menyuntik semangat kepada Muhammad Afif untuk terus belajar serta berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara pada masa hadapan.
Semalam Bernama melaporkan, Rosimah, 58, dari Kampung Pudu, Segamat, sanggup menunggang motosikal melalui laluan ladang kelapa sawit semata-mata mahu memberikan peluang kepada cucunya melihat Perdana Menteri secara lebih dekat.






