
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat singgah sebentar di Festival Muzik Johor Bahru (JB) di Perling Mall di Johor Bahru malam ini untuk bertemu penduduk bandar raya ini yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.
Kesempatan itu digunakan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) untuk berpesan kepada pengunjung festival berkenaan supaya pulang awal untuk keluar mengundi esok.
“Malam ini, tak apa, saya nak anak-anak enjoy, relax, tetapi balik awal, esok pergi mengundi, boleh?,” katanya ketika naik ke atas pentas sebaik tiba di festival berkenaan.
Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.
Dalam ucapan beliau kira-kira dua minit itu, Anwar turut mengingatkan anak muda supaya menjaga perpaduan yang membawa kepada keamanan negara.
“Kita mesti terus jaga persahabatan dan persaudaraan kita. Anak-anak muda kena ingat, negara kita ini aman sebab kita bekerjasama. Negara ini aman sebab semua kaum dapat bersatu.
“Jangan bagi golongan pelampau pecah belahkan kita. Ini penting saya nak ingatkan.
“Jadi, bagi anak-anak, gunakan kuasa dengan baik, yang boleh mengundi esok, pergi undi dengan cepat. Tahu mana nak pilih?,” soalnya.
Anwar turut berkata, rakyat perlu menilai pencapaian Kerajaan Persekutuan yang cakna dan mementingkan keperluan rakyat.
“Ini bukan cakap kosong. Kita tengok rekod kita. Minyak turun atau naik?. Diesel turun atau naik?. Anak-anak sekolah semua dapat bantuan. Ini dasar baru kita. Dulu ada masalah-masalah kita cuba selesaikan,” katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu kemudian bertemu pengunjung festival seketika sebelum beredar meninggalkan majlis.
Beliau dijangka akan ke program terakhir iaitu Program Grand Finale Johor Ke Depan, Undi Harapan PRN Johor di Pasir Gudang.
Esok ditetapkan sebagai Hari Mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.






