Rundingan, pematuhan UNCLOS kekal asas tangani pertikaian sempadan maritim

MALAYSIA akan terus menjadikan rundingan dan pematuhan kepada Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982 sebagai asas dalam menangani pertikaian sempadan maritim dengan negara jiran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia turut menyokong peranan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) berkenaan isu maritim, namun menjelaskan bahawa badan itu juga terikat kepada peruntukan UNCLOS 1982, yang menjadi garis panduan yang jelas.

Perdana Menteri berkata, tafsiran terperinci UNCLOS 1982 masih bergantung pada setiap negara, namun konvensyen itu sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan semua pertikaian.

Katanya, dalam menangani isu Laut China Selatan, negara ASEAN bersetuju untuk menjadikan UNCLOS sebagai asas, selain memuktamadkan Kod Tata Laku (COC) di Laut China Selatan bersama China bagi mengelakkan ketegangan dan konflik.

“Inilah yang sedang dimuktamadkan oleh negara ASEAN dengan China, walaupun dengan Filipina lebih rumit kerana masih wujud isu Sabah.

“Tetapi dengan semua negara ASEAN lain, kita pilih jalan rundingan walaupun kadang-kadang rundingan itu lebih kerap. Kalau ada kebuntuan, kita tangguhkan untuk runding semula,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia membantu Ahli Parlimen mendapatkan pandangan pakar seperti daripada IMO berhubung keselamatan laluan sempit Selat Melaka dan pengurusan isu sempadan maritim.

Perdana Menteri berkata, pengalaman Malaysia melaksanakan pembangunan bersama dengan Thailand dan Vietnam membuktikan bahawa kerjasama ekonomi masih boleh diteruskan tanpa menjejaskan tuntutan kedaulatan masing-masing.

“Maknanya, walaupun kita tahu pertikaian itu sukar diselesaikan, masing-masing bawa hujah yang penting, kuat dan fakta-fakta sejarah, sempadan dan sebagainya.

“Dalam pengalaman kita dengan Vietnam, kawasan pertikaian itu, tanpa prejudis, masih kekal milik kita atau milik mereka, mereka sebutkan tetapi kita lakukan Joint Development Authority supaya kita dapat bangunkan dan dua-dua negara dapat faedah. Itu yang kita lakukan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sebagai negara maritim, berdepan isu sempadan dengan Brunei, Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina serta China, namun kerajaan memilih pendekatan diplomasi dan rundingan bagi mengelakkan pertikaian berlarutan sehingga mencetuskan ketegangan.

Beliau berkata, rundingan sempadan dengan Brunei menunjukkan kemajuan besar dengan hanya berbaki beberapa kawasan kecil yang turut membabitkan kerajaan Sarawak, manakala rundingan dengan Indonesia berkaitan kawasan berkaitan Sabah dan sentiasa membabitkan kepimpinan negeri.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img