Bapa didenda RM3,000, dedah anak usia 20 bulan kepada dadah

SEORANG buruh didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas, hari ini, selepas mengaku bersalah mendedahkan anak perempuannya berusia setahun lapan bulan kepada dadah sehingga mangsa didapati positif dua jenis bahan terlarang.

Tertuduh, Mohamad Shahrul Hisham Lailatulazhma, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendedahkan mangsa yang juga anak perempuannya kepada dadah berbahaya sehingga badan kanak-kanak itu mengandungi dadah jenis benzodiazepines dan methamphetamine.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Rantau Mas, Rantau Panjang pada jam 10.30 malam, 4 April lalu, lapor Buletin TV3.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, selain bon berkelakuan baik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Nai’lah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Aisyha Nai’lah memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh memandangkan mangsa yang masih kecil sepatutnya dilindungi bapanya, namun tertuduh gagal berbuat demikian sehingga mendedahkan anaknya kepada dadah.

Mohamad Shahrul Hisham pula memohon hukuman minimum dengan alasan sudah insaf selain perlu menyara keluarga kerana isterinya tidak bekerja serta memaklumkan keadaan anak perempuannya kini semakin baik.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 dan sekiranya gagal membayarnya, tertuduh dipenjarakan selama tiga bulan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik berjumlah RM2,000 dengan seorang penjamin selama setahun serta menjalani perintah khidmat masyarakat selama 36 jam.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img