SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima dua aduan membabitkan penggunaan akaun palsu sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 setakat ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, MCMC turut menerima 14 aduan berkaitan masalah rangkaian sepanjang tempoh kempen berlangsung.

“Bagi akaun palsu, setakat ini apa yang MCMC maklumkan baru dua. Tetapi itu tidak bermakna jumlah kandungan palsu yang disebarkan hanya dua atau mungkin tiada lagi. Mungkin ada lebih daripada itu.
“Jadi kita perlukan kerjasama orang ramai yang melihat apa-apa kandungan yang meragukan untuk membuat laporan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Ziarah Kasih di Felda Palong Satu di Jempol hari ini, lapor Buletin TV3.
Menurut Fahmi, keadaan media sosial sepanjang tempoh kempen ketika ini masih terkawal, namun pihaknya menjangkakan kemungkinan berlaku peningkatan penyebaran maklumat menjelang tempoh akhir kempen.
“Tempoh kempen ini hari kelima atau keenam dan masih berbaki lebih kurang tujuh hingga lapan hari. Setakat ini keadaan di media sosial nampak masih terkawal.
“Tetapi biasanya dalam tempoh 72 hingga 96 jam terakhir, akan ada pecutan akhir daripada pelbagai pihak. Kita harap tidak berlaku satu keadaan kebanjiran maklumat palsu, terutama dalam tempoh kritikal,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya melaporkan sebarang kandungan yang melanggar peraturan pilihan raya atau garis panduan platform media sosial kepada pihak berkaitan.






