POLIS menahan dua penunggang motosikal lelaki dan perempuan yang dikesan melakukan aksi ‘superman’ secara berbahaya di Kilometer 407.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Hulu Selangor kelmarin.
Tindakan berbahaya kedua-dua penunggang berusia lingkungan 20-an itu turut tular dalam aplikasi TikTok apabila ia turut dirakam pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden M Manimaran berkata, polis sebelum itu menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.06 petang kelmarin.
“Video tular itu memaparkan dua penunggang iaitu lelaki dan perempuan berusia lingkungan 20-an melakukan aksi berbahaya dengan cara meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kedua-dua kaki ke belakang.
“Dua motosikal itu dikenal pasti model Yamaha LC dan Yamaha Y15,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Manimaran, kedua-dua penunggang motosikal itu berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk tindakan lanjut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kejadian dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Sarjan Masrina Idris di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.






