POLIS menahan seramai 12 pegawai dan anggota pelbagai pangkat selepas dipercayai memeras ugut seorang lelaki warga Vanuatu sebanyak RM2 juta.
Menurut sumber, mangsa hanya dilepaskan selepas membayar ASD140,000 (RM560,000).
“Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Susulan itu difahamkan seramai 12 orang pegawai dan anggota polis ditahan di mana ada antaranya berpangkat Deputi Superintenden (DSP), Asisten Superintenden (ASP) dan lain-lain pangkat,” katanya, lapor BH.
Difahamkan, kumpulan pegawai polis terbabit dipercayai memeras ugut mangsa dengan menuntut RM2 juta.
“Mangsa bagaimanapun hanya sempat membayar RM560,000 sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis.
“Polis turut menemukan semula sebahagian daripada wang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.






