PENGURUSAN harta dan tata kelola wakaf bukan sekadar urusan pentadbiran, sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti bagi memastikan kepercayaan pewakaf terus terpelihara.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, umat Islam perlu bersikap jujur terhadap realiti semasa institusi wakaf demi memelihara kewibawaannya, selain mengambil tindakan konkrit bagi memulihkan kelemahan yang masih wujud.
Baginda bertitah, penubuhan pelbagai instrumen kewangan seperti sukuk wakaf tunai tidak mencukupi sekiranya tidak diimbangi dengan penghayatan terhadap tujuan dan nilai kerohanian yang hakiki.
Pada masa sama, baginda menegur keadaan aset dan tanah wakaf yang masih dibiarkan terbengkalai, rekod tidak lengkap serta potensinya gagal direalisasikan secara optimum.
“Di sesetengah tempat, harta wakaf hilang disebabkan pengabaian atau salah urus yang seperti menghina pewakaf. Apabila ditadbir secara lemah, barakah berkurangan dan kepercayaan pewakaf dikhianati secara senyap,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah sempena Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) 2026 bertemakan ‘Perkukuh Agenda Kesejahteraan Ummah’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini, lapor BH.
Sehubungan itu, Sultan Nazrin menegaskan umat Islam tidak boleh sekadar berbangga dengan kegemilangan institusi wakaf pada masa lalu, sebaliknya wajib mengambil langkah nyata untuk memulih dan memperkasakannya.
Baginda turut mengingatkan pentadbir wakaf bukan pemilik harta berkenaan, sebaliknya pemegang amanah bagi pihak golongan miskin, pelajar, orang sakit dan generasi akan datang.
Titah baginda, usaha menyelenggara rekod yang jelas, mengakaunkan setiap ringgit secara telus serta melabur secara bijak adalah pati utama ketaatan kerana lejar yang diurus dengan baik adalah satu bentuk ibadah.
Berikutan itu bagi memperkasakan institusi wakaf, Sultan Nazrin mengemukakan empat cadangan konkrit.
“Pertama, mengusulkan penubuhan kumpulan kerja antarabangsa bagi mengintegrasikan Prinsip Teras Wakaf Indonesia, piawaian AAOIFI dan kerangka Kazakhstan ke dalam prinsip teras bersama yang boleh diguna pakai secara sukarela, dengan Universiti INCEIF dicadang menjadi urus setia.
“Kedua, mempercepatkan penyerapan platform wakaf tunai digital menerusi papan pemuka awam real-time yang telus bagi membolehkan penderma menjejaki sumbangan mereka secara langsung.
“Ketiga, melancarkan projek rintis Wakaf untuk Keamanan dan Ketahanan Planet (Waqf for Peace and Planetary Resilience) di kelompok masjid dan pusat komuniti di ASEAN bagi membiayai tenaga solar serta infrastruktur air mesra iklim.
“Keempat, memastikan piagam institusi wakaf mendaftarkan prinsip keseimbangan, keadilan dan kerahiman daripada kerangka Al-Mizan sebagai kriteria tata kelola yang mengikat,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, persidangan itu adalah peluang keemasan untuk melonjakkan institusi wakaf ke masa hadapan dan mengingatkan generasi hari ini tidak sekadar mengagumi pencapaian lampau tanpa memberi sumbangan baharu.
Sementara itu, Yang Dipertua Perkim, Tan Sri Abang Johari Openg berkata, wakaf tidak lagi boleh dilihat sebagai institusi kebajikan semata-mata, sebaliknya perlu diiktiraf sebagai instrumen strategik pembangunan sosioekonomi yang mampan.
Beliau berkata, ekosistem wakaf yang diurus dengan baik mampu melengkapi perbelanjaan awam serta menyokong sektor pendidikan, kesihatan, keusahawanan, perumahan dan bantuan kemanusiaan.
Katanya, pendekatan itu turut menyumbang kepada keadilan sosial dan kemakmuran bersama menerusi pembangunan yang diukur daripada kesejahteraan serta peluang yang dinikmati masyarakat.
Piawaian AAOIFI adalah panduan antarabangsa untuk kewangan Islam yang merangkumi bidang perakaunan, perauditan, tadbir urus dan syariah
Konvensyen anjuran PERKIM itu menghimpunkan hampir 1,000 peserta terdiri daripada pakar wakaf, sarjana dan pengamal dakwah dari dalam serta luar negara bagi membincangkan penyelarasan model tadbir urus wakaf, potensi dana untuk pendidikan, kebajikan asnaf dan pemerkasaan mualaf.






