THAILAND menangguhkan rundingan damai dengan kumpulan pemberontak selatan, yang pada mulanya dijadualkan berlangsung di Malaysia pada September, selepas serangan maut di Narathiwat minggu lepas yang mengorbankan lima anggota renjer.
Pengarah Agensi Perisikan Kebangsaan Thanat Suwannanont berkata proses dialog itu pada mulanya berjalan lancar sebelum serangan tersebut mendorong pihak berkuasa untuk menilai semula keadaan.
“Tiada rundingan akan diadakan pada September. Kita telah mengatur pertemuan itu lebih awal, namun insiden tersebut berlaku. Keganasan itu terlalu ekstrem untuk kita terima. Kita dalam proses rundingan apabila perkara ini berlaku.
“Walaupun kumpulan pejuang itu mungkin bertindak mengikut naluri mereka, kita sebenarnya telah memulakan proses dialog tersebut. Apabila keganasan berlaku, kita terpaksa bermula semula dari awal,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Thanat, yang juga mengetuai Panel Dialog Keamanan Wilayah Sempadan Selatan Thailand, berkata kerajaan telah menghantar surat kepada kumpulan pemberontak berkenaan bagi mendapatkan penjelasan mengenai serangan itu, yang berlaku ketika proses keamanan sedang berjalan.
Beliau menambah Perdana Menteri Anutin Charnvirakul sentiasa menegaskan bahawa dialog kekal sebagai antara pendekatan jangka panjang utama untuk menyelesaikan konflik di wilayah sempadan selatan Thailand, dan bukannya sekadar tindak balas jangka pendek terhadap insiden-insiden tertentu.
“Rundingan mesti diteruskan mengikut proses yang telah ditetapkan dan memerlukan masa,” katanya.
Pada Rabu lepas, enam penyerang bertopeng yang berpakaian gelap melepaskan tembakan dan melontar bom paip ke arah pos kawalan keselamatan kira-kira 6.45 petang waktu tempatan di Ban Bukit Sami, daerah Rangae, wilayah Narathiwat, menyebabkan kematian lima anggota renjer dan kecederaan kepada enam orang awam, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.
Susulan serangan, Thailand menguatkuasakan Undang-Undang Tentera di 13 daerah di Narathiwat bagi memudahkan usaha memburu suspek serta memperkukuh langkah keselamatan di wilayah selatan yang sering dilanda pergolakan itu.
Sementara itu, Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah 4 menyatakan dalam satu kenyataan bahawa Mahkamah Wilayah Narathiwat telah mengeluarkan waran tangkap terhadap dua suspek yang dipercayai terlibat dalam serangan tersebut.
ISOC memaklumkan bahawa kedua-dua suspek, yang masing-masing berusia 45 dan 43 tahun, telah dikenal pasti oleh pihak penyiasat berhubung serangan bersenjata pada 22 Julai itu.
“Mereka didakwa secara bersama melakukan perbuatan keganasan, pembunuhan terancang terhadap seorang pegawai kerajaan, rompakan bersenjata yang mengakibatkan kematian, serta kesalahan melibatkan senjata api dan bahan letupan,” menurut kenyataan itu.
ISOC menambah operasi untuk menahan suspek sedang dijalankan, dengan pihak tentera diberi kuasa untuk mengadakan sekatan jalan raya di seluruh Narathiwat pada bila-bila masa sekiranya maklumat perisikan menunjukkan suspek berada di sesuatu kawasan.






