‘’Pengundi tentu kemenangan bukan kajian atau ramalan politik’’ – Fahmi

PENGARAH Komunikasi Pakatan Harapan Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata ramalan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming bahawa Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memenangi sehingga 25 kerusi pada PRN Negeri Sembilan menjadi pembakar semangat kepada PH untuk bekerja lebih keras.

Katanya, unjuran itu juga menjadi cabaran kepada semua calon PH supaya terus memperhebat usaha menyantuni rakyat, khususnya pengundi atas pagar yang masih belum membuat keputusan menjelang hari pengundian.

“Yang akan memenangkan mana-mana calon ataupun parti dalam pilihan raya ialah pengundi yang keluar mengundi, bukannya kajian atau ramalan politik.

“Setakat ini, apabila kita lihat mood terutama dalam kalangan pengundi atas pagar, ia agak positif dan semuanya terpulang kepada pengundi untuk membuat keputusan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri kempen bersama komuniti Felda Bukit Rotan Barat.

Turut hadir calon PH bagi DUN Jeram Padang, G Manivannan.

Semalam, Ong berkata BN dan PN dijangka menguasai kerajaan Negeri Sembilan dengan memenangi antara 23 hingga 25 daripada keseluruhan 36 kerusi pada PRN 1 Ogos ini.

Dalam unjuran terbaharunya, ahli DAP itu menjangkakan PH hanya mampu memenangi antara 11 hingga 13 kerusi, dengan PKR berkemungkinan memperoleh satu kerusi manakala selebihnya dimenangi DAP.

Ong, yang kini profesor adjung di Universiti Taylor’s berkata kerjasama pilihan raya BN-PN memberi kelebihan kepada kedua-dua gabungan kerana dapat mengelakkan perpecahan undi Melayu yang sebelum ini membantu PH memenangi beberapa kerusi.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, rekod pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, membuktikan kerajaan negeri di bawah PH mempunyai prestasi yang boleh dinilai sendiri oleh rakyat.

Menurutnya, sepanjang pentadbiran Aminuddin, hasil negeri, simpanan kerajaan negeri, kutipan zakat dan pelaburan terus meningkat, selain tidak berdepan skandal penyelewengan yang mencemarkan pentadbiran.

“Kita lihat pentadbiran Tok Min (Aminuddin) berjaya menyelesaikan banyak perkara. Hasil meningkat, simpanan meningkat, zakat meningkat dan pelaburan juga meningkat.

“Beliau juga tidak berdepan isu-isu yang pernah dikaitkan dengan pemimpin terdahulu. Walaupun berdepan pelbagai kritikan, beliau kekal tenang dan terus menjalankan tugas,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img