SEORANG lelaki tempatan berusia 40 tahun meninggal dunia selepas terlibat dalam kejadian pecah rumah di Jalan Building Society, Taman Star di Ipoh semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Alwi Zainal Abidin, berkata siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 5 pagi apabila dua suspek memasuki rumah tersebut melalui tingkap yang diumpil, sebelum berlaku pergelutan dengan penjaga rumah.
“Seorang suspek dipercayai berjaya melarikan diri, manakala seorang lagi ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Hasil bedah siasat mendapati sebab kematian ialah masalah saluran jantung tersumbat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) dan siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan masih diteruskan, termasuk usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.
Justeru, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadianitu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Ipoh menerusi talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran.






