Kastam diminta jelas prosedur K8 bagi kargo petroleum

SEORANG pemain industri menggesa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memberikan penjelasan rasmi berhubung pelaksanaan prosedur deklarasi K8 bagi memastikan pengendalian kargo petroleum dapat dilaksanakan secara seragam tanpa menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengusaha industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn. Bhd., R. Jeyenderan berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan operasi di Pelabuhan Tanjung Langsat berjalan lancar.

Menurutnya, antara perkara memerlukan penjelasan ialah status kargo selepas dipunggah ke dalam tangki simpanan serta kaedah prosedur K8 perlu dilaksanakan pada peringkat berkenaan.

“Saya telah menghantar e-mel kepada JKDM bagi mendapatkan penjelasan rasmi mengenai bagaimana prosedur K8 sepatutnya dilaksanakan selepas kargo petroleum dipunggah ke dalam tangki simpanan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pihak industri juga memerlukan penjelasan mengenai kaedah pemantauan kastam selepas proses pemunggahan, mekanisme memadankan dokumen dengan kargo fizikal serta proses memastikan kargo yang dieksport adalah selaras dengan deklarasi asal.

Menurut beliau, permohonan penjelasan itu dibuat susulan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujud percanggahan antara dokumen bil muatan dengan pergerakan fizikal kargo petroleum di sebuah terminal di pelabuhan berkenaan.

Jelasnya, kepastian terhadap prosedur tersebut amat penting kerana ia melibatkan operasi harian pemain industri termasuk urusan penghantaran kargo, dokumentasi perdagangan, pembiayaan, perlindungan insurans dan pematuhan terhadap peraturan.

“Kelewatan mendapatkan penjelasan juga boleh memberi kesan kepada urusan perniagaan kerana pemain industri perlu menjalankan operasi berdasarkan prosedur yang jelas dan seragam.

“Penjelasan itu turut penting bagi memelihara keyakinan pemain industri dan pelabur ketika Malaysia berusaha memperkukuh kedudukannya sebagai hab penyimpanan serta pemindahan petroleum serantau,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img