
JABATAN Pilihan Raya Pakatan Harapan (JPPH) menjemput seluruh rakyat Negeri Sembilan untuk hadir memeriahkan program Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan yang akan berlangsung hari ini menampilkan kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan kepimpinan utama gabungan itu.
Sekretariat Pusat Media Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 PH memaklumkan, program ini menjadi kemuncak siri Jelajah Kekal Harapan yang telah berjaya menghimpunkan ribuan rakyat di seluruh Negeri Sembilan sepanjang tempoh kempen.

Menurutnya, ia merupakan peluang terbaik untuk rakyat mendengar sendiri hala tuju, pencapaian serta komitmen Kerajaan MADANI dan pemimpin PH dalam membangunkan Negeri Sembilan.
“Selain Grand Finale di Pusat Perniagaan Betaria Seremban, Pengerusi PH akan turut menghadiri dua program utama, Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan di Taman Cempaka Labu dan Sesi Ramah Mesra Bersama PMX di Klana Resort Seremban.
“Kami juga ingin menjemput orang ramai bagi memeriahkan program Kuala Pilah Berselawat yang akan diadakan pada 30 Julai 2026 di Dataran Melang, Kuala Pilah. Program ini bakal menampilkan barisan agamawan tersohor seperti Sheikh Khaleel Ismael Elias, Sheikh Mahmood Al Wasabi, Habib Nael Ben Taher dan Angham Anisah,” kata sekretariat itu dalam kenyataan hari ini.
JPPH yakin sambutan luar biasa daripada rakyat sepanjang siri jelajah membuktikan keyakinan terhadap rekod pentadbiran kerajaan negeri PH serta komitmen Kerajaan MADANI dalam membawa pembangunan, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi kepada rakyat.
Sehubungan itu, katanya, semua rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan semua program yang telah dirancang ini sebagai manifestasi sokongan terhadap agenda Kekal Harapan demi masa depan Negeri Sembilan yang lebih maju, stabil dan sejahtera.






