MAHKAMAH Majistret Kulim hari ini menjatuhkan hukuman penjara 38 bulan ke atas seorang kelindan lori selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menculik dan mencederakan seorang pelajar tingkatan pua di depan sekolah di Padang Serai dekat sini, minggu lalu.
Tertuduh, M Shyrichs, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menculik kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun di depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Lela Pahlawan, Padang Serai daripada jagaan sah ibunya pada jam 6.30 petang, 23 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 363 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda.
Selain itu, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa pada tarikh, masa dan tempat yang sama.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ain Fadilla Mohamad Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), V Nyanasegaran.
Peguam tertuduh kemudian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai kelindan lori, masih bujang dan memperoleh upah harian.
Beliau berkata, pengakuan bersalah tertuduh juga menjimatkan masa mahkamah selain mendakwa perbuatan itu dilakukan kerana terdesak disebabkan individu tertentu.
Peguam itu turut memohon agar hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak dan dikira bermula dari tarikh tangkapan pada 23 Julai lalu.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh selain kes itu membabitkan kepentingan awam.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 38 bulan bagi pertuduhan menculik dan penjara lima bulan bagi pertuduhan mendatangkan kecederaan.
Kedua-dua hukuman diperintah dijalankan serentak dan bermula dari tarikh tangkapan tertuduh.






