SEORANG perancang majlis separuh masa yang sebelum ini didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol kini akan berdepan tuduhan pindaan selepas penunggang motosikal yang dirempuhnya maut dua bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kertas siasatan telah diserahkan semula kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor selepas Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, meninggal dunia pada 26 Mei lalu.
“Arahan Timbalan Pendakwa Raya Selangor (agar) klasifikasi semula kes (ini dan) akan dituduh semula pada 9 pagi, 30 Julai (esok) di Mahkamah Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 18 Mei lalu, Low Kean Peng, 35, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas Zulfiqar Zamir ketika memandu di bawah pengaruh alkohol di Persiaran Kota, Klang pada jam 12.35 tengah malam, 13 Mei.
Tuduhan terdahulu dibuat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 membawa hukuman penjara tujuh hingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 dan RM50,000, jika sabit kesalahan.
Zulfiqar Zamir meninggal dunia selepas 13 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.
Susulan kematiannya, keluarga mangsa menggesa pihak berkuasa menyiasat suspek atas tuduhan membunuh.






