DATUK Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Negeri Sembilan supaya menilai kepimpinan berdasarkan kemampuan untuk melaksanakan amanah serta tindakan, dan bukan sekadar janji atau retorik ketika berkempen.
Menurut Perdana Menteri, ukuran sebenar sesebuah pentadbiran bukan berdasarkan kenyataan atau manifesto semata-mata, sebaliknya keupayaan untuk melaksanakan perkara yang dijanjikan kepada rakyat.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, ia selari prinsip Islam yang menuntut seseorang bukan hanya menyeru kepada kebaikan, tetapi juga membuktikannya melalui amal dan tindakan.
“Dalam kegiatan kita dalam tata negara ini, borang ukur bukan jaminan, bukan kenyataan, bukan manifesto, tetapi keupayaan kita mengamalkan.
“Sebab itu, apabila kita diberikan amanah, kita melihat beberapa kegiatan. Kita bukan hanya bicara soal Islam, tetapi bagaimana kita melaksanakan,” katanya ketika berucap pada Program Munajat Perdana bersama penduduk Linggi di Dewan Orang Ramai Linggi, di Port Dickson semalam.
Yang turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Pengerusi PH negeri.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh kepimpinan Aminuddin yang disifatkannya sebagai pemimpin amanah dan tidak menyalahgunakan kuasa.
Beliau berkata, pemimpin berintegriti seperti Aminuddin perlu terus diberi sokongan kerana ia memberi manfaat kepada rakyat.
“Kalau ada pemimpin yang amanah, baik, tidak rasuah (tetapi) kita tolak, saya tidak tahu apa sebabnya,” katanya.
Anwar menegaskan akan menyokong Aminuddin untuk terus menerajui Negeri Sembilan kerana rekod pentadbirannya yang mengutamakan kepentingan rakyat.
Beliau turut menekankan bahawa pemimpin yang diberi kuasa perlu memastikan tadbir urus dilaksanakan dengan baik, kerana kegagalan menjaga amanah boleh menyebabkan rakyat tidak mendapat manfaat.
Katanya, perkara itu juga menjadi asas pendekatan kerajaan dalam menangani isu berkaitan institusi dan badan berkepentingan rakyat.






