PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 134,600 batang rokok disyaki tidak bercukai bernilai lebih RM167,520 dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Amboi, di Tenom, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 8.20 pagi yang dijalankan bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom itu, seorang lelaki yang dipercayai menjaga stor berkenaan sempat melarikan diri ke kawasan kebun getah berhampiran sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis Ahmad Amri Abd. Rahman berkata, pemeriksaan lanjut di dalam stor menemukan pelbagai jenis rokok yang dipercayai tidak bercukai.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM167,520.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Usaha mengesan suspek yang melarikan diri sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Amri berkata, sehingga 30 Julai lalu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 44 kes mengikut Akta Kastam 1967 membabitkan 30 tangkapan dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan mencecah RM6.21 juta.
Beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dan risikan bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta penyimpanan barangan tidak bercukai.
Katanya, usaha itu penting bagi melindungi keselamatan negara dan memastikan kepentingan ekonomi negara terus terpelihara.






