Lapan ahli kongsi gelap didakwa terlibat pergaduhan di Muar

LAPAN lelaki yang terbabit dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan kongsi gelap dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Muar hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah, melakukan khianat serta merosakkan rumah ibadat.

Di Mahkamah Majistret, tujuh yang didakwa ialah Lee Ji Ping, 19; Jewel Tee, 20; Low Hai Seng, 21; Lim Chi Heng, 23; Lim Chi Ann, 27; Eng Boon Xiu, 20, serta seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.

Kesemua tertuduh mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 426 dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Arthana Sarma Rao.

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa bersama-sama mencapai niat melakukan khianat terhadap sebuah premis milik lelaki berusia 58 tahun di Kelab Kebajikan Hong Yuan, Sungai Abong di Muar kira-kira jam 12.30 tengah malam, 25 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 426 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, semua tertuduh didakwa merosakkan sebuah tokong di Jalan Fong Wei Gong di Muar kira-kira jam 1 pagi pada hari sama sehingga boleh mendatangkan keaiban kepada penganut rumah ibadat berkenaan.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM7,300 terhadap Hai Seng, Chi Heng dan Chi Ann atau penjara 10 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagi tertuduh Ji Ping, Jewel Tee dan Boon Xiu pula, mahkamah membenarkan ikat jamin RM4,500 seorang, manakala remaja bawah umur itu dibenarkan ikat jamin RM2,500.

Kes berkenaan disebut semula pada 17 November ini bagi pembentangan laporan sosial dan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain fakta dan hukuman.

Peguam Tee Xi Ran daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili tujuh tertuduh terbabit.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Yap Soon Kuan, 23, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap lelaki berusia 38 tahun menggunakan sebilah parang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan di Jalan Damai, Muar kira-kira jam 12.30 tengah malam, 25 Julai lalu, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Soon Kuan diwakili peguam Siti Nurashikin Fuaddin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 September ini bagi penyerahan dokumen serta tawaran ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Prosiding di kedua-dua mahkamah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen dan Yasmin Mohd Piah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img