Myvi hilang kawalan dipercayai punca nahas ragut tiga nyawa – Polis

POLIS percaya kereta Perodua Myvi yang terlibat nahas, hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler membawa muatan diesel di Kilometer 25, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Gua Musang pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, pemandu Perodua Myvi, Muhamad Syazwan Hakimi Ibrahim, 21, penumpang hadapan dikenali sebagai Maria dan penumpang belakang, Muhammad Ziekyr Iman Abli, 11, iaitu anak Maria maut di lokasi kejadian.

Seorang lagi penumpang belakang yang juga anak Maria iaitu wanita berusia 21 tahun mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kini ditidurkan di wad Kecemasan Hospital Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menuju ke Gua Musang.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler.

“Akibat kemalangan terbabit, pemandu bersama dua penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Seorang lagi penumpang belakang mengalami kecederaan parah dan dibawa ke unit kecemasan Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Semua mangsa yang meninggal dunia dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Katanya, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang melalui talian 09-912 1222,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img