Laporan RCI Tabung Haji didedah secara telus, tanpa tapisan – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) didedahkan kepada umum secara telus tanpa sebarang tapisan dan suntingan.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan tidak memotong mana-mana aspek atau bahagian dalam laporan itu bagi memastikan umat Islam dan rakyat Malaysia dapat meneliti keseluruhan dapatan siasatan termasuk syor yang digariskan RCI sebagai pengajaran pada masa hadapan agar perkara sama tidak berulang.

DATUK Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media sebaik sahaja selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Paroi Jaya di Seremban hari ini. GAMBAR: Facebook pembaca

“Tidak ada (tapisan). Jabatan Perdana Menteri (JPM) tidak memotong mana-mana aspek laporan itu…kita menerbitkan keseluruhan laporan itu, termasuk syor-syor dan proses dilalui sepanjang penyediaannya.

“Ini bermakna siasatan meliputi tempoh sebelum 2020. Dalam perbincangan ringkas Jemaah Menteri, terdapat pandangan supaya skop siasatan diperluas bagi meneliti perkembangan selepas tempoh itu. Kita mahu mengetahui dengan tepat apa berlaku selepas itu serta tindakan yang telah diambil pelbagai jawatankuasa, termasuk Lembaga Tabung Haji ketika ini,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Paroi Jaya, Seremban hari ini.

Jemaah Menteri sebelum ini bersetuju mengelaskan semula serta mendedahkan laporan RCI itu kepada umum, selain memutuskan siasatan lanjut oleh badan penguat kuasa diteruskan berdasarkan dapatan laporan berkenaan.

Laporan itu menggariskan 25 syor penambahbaikan, dengan pengurusan tertinggi TH berjaya melaksanakan 75 peratus daripadanya, manakala agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025 yang diumumkan baru-baru ini membuktikan institusi itu kini berada dalam keadaan lebih baik.

 

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img