JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan sebanyak 2,001 kes kebakaran kilang dengan nilai kerugian dianggarkan RM4.21 bilion sejak tahun 2021.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, jumlah itu bukan sekadar statistik, sebaliknya menggambarkan kos besar yang terpaksa ditanggung negara akibat kegagalan mengurus risiko kebakaran secara berkesan.
Beliau berkata, trend kebakaran kilang juga menunjukkan peningkatan sejak 2021 dengan jumlah tertinggi direkodkan pada tahun lalu iaitu sebanyak 463 kes, meningkat 28.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Pada tahun lalu sahaja, nilai kerugian akibat kebakaran kilang dianggarkan mencecah RM770.69 juta.
“Sehingga suku kedua tahun ini, sebanyak 222 kes kebakaran kilang direkodkan dengan purata kira-kira 37 kes setiap bulan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di Putrajaya, hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut beliau, kadar kejadian itu dilihat masih konsisten, namun jika tidak ditangani secara lebih serius mampu memberi impak besar kepada sektor perindustrian.
Katanya, pelaburan dalam sistem keselamatan kebakaran, latihan, pembangunan kemahiran dan pemerkasaan budaya keselamatan mampu melindungi kesinambungan operasi, pekerja serta masa depan sesebuah perniagaan.
Nor Hisham berkata, JBPM terus mengambil pendekatan proaktif dalam memperkukuh pematuhan terhadap aspek keselamatan kebakaran menerusi penguatkuasaan secara profesional, berintegriti dan berhemah.
Beliau berkata, sebanyak 1,878 premis kategori kilang diperiksa sepanjang tahun lalu, meningkat 20 peratus berbanding 1,563 premis pada tahun sebelumnya.
“Jumlah premis yang dikeluarkan Notis Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) turut meningkat daripada 706 premis pada 2024 kepada 1,191 premis pada 2025.
“Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 945 pemeriksaan kilang dijalankan dengan 637 premis dikeluarkan Notis MBK, manakala 426 kes bahaya kebakaran dikesan dan 16 premis didapati gagal mematuhi notis berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, JBPM turut mengadakan sesi khas melibatkan Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran bersama ketua zon dan ketua cawangan seluruh negara bagi membincangkan isu pematuhan terhadap undang-undang keselamatan kebakaran.
Menurutnya, kerjasama lebih menyeluruh dengan pihak berkuasa tempatan penting bagi memastikan isu pematuhan dapat ditangani secara lebih berkesan.






