PENYELEWENGAN rasuah dan salah guna kuasa bukan sahaja menyebabkan hak orang lain diambil secara batil, malah menggugat kepercayaan dan merosakkan kesejahteraan yang telah dibina.
Sehubungan itu Khutbah Jumaat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) hari ini menegaskan, keamanan dan kesejahteraan hanya dapat dikekalkan apabila setiap individu dalam masyarakat mengamalkan integriti.
‘’Kita sepatutnya mengambil iktibar daripada kisah kaum Madyan yang melakukan penipuan dalam timbangan dan sukatan ketika berniaga. Oleh sebab perbuatan tersebut, Allah ‘Azzawajalla mengutus Nabi Syu‘aib ‘alaihissalam lalu mengingatkan mereka sebagaimana yang difirmankan dalam Surah Hud ayat 84, yang bermaksud:
“Kepada kaum Madyan, Kami, yakni Allah, mengutus saudara mereka, Nabi Syu‘aib. Baginda berkata: Wahai kaumku, sembahlah Allah kerana tiada tuhan bagi kamu selain Dia. Janganlah kamu menipu sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemakmuran, namun aku bimbang kamu akan ditimpa azab yang menyeluruh,’’ menurut khutbah tersebut.
Khutbah itu menyatakan, kisah kaum Madyan dalam ayat ini memberikan pengajaran bahawa nikmat kesejahteraan sesuatu umat boleh terjejas akibat ketidakjujuran dan penyelewengan.
Oleh itu menurut khutbah berkenaan, kejujuran dalam pengurusan amatlah penting bagi memastikan setiap urusan dikendalikan secara telus dan berintegriti, di samping menangani gejala rasuah, salah guna kuasa serta pelbagai bentuk penyelewengan.
Sambil memetik ayat Quran Surah Al-Araf ayat 56, khutbah itu menegaskan, Imam Ibnu Kathir, Allah SWT melarang umat manusia melakukan kerosakan setelah Dia menganugerahi mereka kehidupan yang baik.
Hal ini dikatakan demikian kerana kerosakan yang berlaku setelah terbinanya kesejahteraan akan mendatangkan kemudaratan yang lebih besar.
Oleh itu, umat Islam hendaklah menjauhi segala perbuatan yang menggugat ketenteraman dan kestabilan kehidupan bermasyarakat.
‘’ Menurut ahli tafsir yang lain pula, kerosakan di dunia ini merangkumi perbuatan maksiat yang merosakkan akhlak, amalan, rezeki serta kehidupan dunia dan akhirat. Lantaran itu, kita mestilah memelihara kesejahteraan dengan mentaati perintah Allah SWT, menjauhi larangan-Nya dan membudayakan amalan ihsan dalam kehidupan. Kita juga perlu melaksanakan tuntutan ini berdasarkan peranan dan tanggungjawab masing-masing, sama ada sebagai pemimpin, pentadbir, ketua keluarga mahupun orang awam dalam masyarakat, ‘’ kata khutbah itu.






