Mahkamah kekalkan hukuman mati bekas pakar patologi bunuh Kevin Morais

MAHKAMAH Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap bekas pakar patologi Kolonel Dr R Kunaseegaran atas kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais pada 2015.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azimah Omar.

Ketika membacakan keputusan, Hashim berkata, Kunaseegaran, 63, gagal memenuhi ambang undang-undang yang diperlukan bagi permohonan semakan di bawah Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Menurut beliau, Kunaseegaran turut menarik balik rayuannya terhadap hukuman sebelum ini, sekali gus menyebabkan tiada lagi isu untuk dipertimbangkan oleh mahkamah.

Mahkamah turut menolak dakwaan bahawa panel hakim terdahulu hanya mempertimbangkan isu berkaitan motif dan pertuduhan yang didakwa cacat.

Hashim berkata, berdasarkan nota prosiding, panel terdahulu telah meneliti pelbagai isu lain termasuk keterangan mengikut keadaan, pertuduhan, keterangan seorang saksi pendakwaan serta pembelaan tertuduh.

“Justeru, adalah tidak benar untuk mendakwa panel sebelum ini tidak mempertimbangkan isu-isu tersebut,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa ketiadaan alasan penghakiman penuh secara bertulis tidak boleh dijadikan asas untuk membenarkan permohonan semakan dan tiada pelanggaran terhadap Perkara 5 serta Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Kunaseegaran berhujah anak guamnya tidak diberikan perbicaraan yang adil kerana alasan rayuan tidak dipertimbangkan sepenuhnya oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin berhujah bahawa panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah meneliti semua fakta, isu undang-undang dan hujahan yang dibangkitkan, sekali gus tiada sebarang kesilapan yang mewajarkan semakan dibuat.

Kunaseegaran adalah antara enam lelaki yang disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020 kerana membunuh Kevin Morais yang dilaporkan hilang pada 4 September 2015 sebelum mayatnya ditemukan di dalam tong dram berisi konkrit di Subang Jaya.

Kesalahan itu dilakukan di sekitar Jalan Dutamas Raya, Sentul dan No. 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara jam 7 malam hingga 8 malam pada 4 September 2015.

Mahkamah Rayuan menolak rayuan kesemua tertuduh pada 14 Mac 2024.

Pada 1 Julai 2025, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap Kunaseegaran selepas beliau menarik balik rayuannya terhadap hukuman, manakala hukuman mati terhadap S. Nimalan dan S. Ravi Chandran digantikan dengan hukuman penjara. Tiga lagi tertuduh, R. Dinishwaran, A.K. Thinesh Kumar dan M. Vishwanath pula dilepaskan serta dibebaskan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img