
BERBAKI kira-kira tujuh jam sebelum kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan melabuhkan tirai, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan Pakatan Harapan (PH) mampu mempertahankan mandat berbekalkan rekod prestasi pentadbiran kerajaan negeri dan sambutan sepanjang kempen.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH berkata, keyakinan itu bersandarkan komitmen tinggi seluruh jentera PH yang bekerja sehingga ke saat akhir, selain keadaan yang terkawal dan baik.
“Kerjasama semua pihak amat baik dan kita yakin PH akan diberi mandat, seterusnya mencapai kemenangan.
“Namun begitu, kita tidak mengambil mudah saingan daripada parti lawan. Seluruh jentera terus bekerja sehingga saat akhir bagi memastikan sokongan rakyat diterjemahkan kepada undi.
“Insya-Allah, kita yakin dapat mencapai kemenangan,” katanya kepada media selepas solat Jumaat di Masjid Kariah Paroi Jaya di Seremban hari ini.
Anwar berkata, fokus utama ketika ini adalah memastikan proses pengundian berlangsung dalam keadaan aman, terkawal dan mendapat kerjasama semua pihak.
“Yang penting kita tumpu (mendekati pengundi) dan selepas itu (hari pengundian) pastikan dalam keadaan terkawal, baik melalui kerjasama dengan semua pihak,” katanya.
Anwar bagaimanapun enggan menyatakan jumlah kerusi yang mampu dimenangi PH.
“Itu terserah sepenuhnya keputusan kepada pengundi. Itu kena tanya Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan),” katanya.
Sebelum ini, Anwar menegaskan bahawa keputusan pilihan raya tidak ditentukan oleh kajian atau ramalan semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kebijaksanaan rakyat yang keluar mengundi.
PRN Negeri Sembilan ke-16 membabitkan pertandingan bagi semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan hari pengundian ditetapkan esok.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan keputusan terawal bagi PRN di Negeri Sembilan esok akan mula diketahui seawal jam 10 malam manakala keputusan penuh proses pengundian pada jam 12 tengah malam.






