ASEAN perlu bersatu pertahan keselamatan maritim dan kedaulatan serantau

KESELAMATAN maritim ASEAN bukan lagi sekadar isu pertahanan, malah telah menjadi persoalan kelangsungan ekonomi, kedaulatan dan masa depan rantau ini.

Dalam suasana geopolitik dunia yang semakin tidak menentu, negara-negara ASEAN perlu memperkukuhkan kerjasama strategik bagi memastikan rantau ini terus aman, stabil dan makmur.

Inilah kesimpulan utama yang terhasil daripada Wacana Intelektual Nusantara (WIN) Siri Ke-3 bertemakan “Keselamatan Maritim ASEAN: Memperkukuh Kerjasama Nusantara Demi Kedaulatan dan Kemakmuran Serantau” di Wisma MPM, Kuala Lumpur.

Program anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan kerjasama Pusat Strategi dan Polisi Indonesia (PUSPIP) dan Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA).

Wacana ini menghimpunkan tokoh-tokoh berpengalaman daripada bidang diplomasi, keselamatan, pertahanan, akademik, perkapalan dan pentadbiran awam dari Malaysia dan Indonesia.

Selat Melaka semakin strategik

Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), membuka wacana dengan mengimbau pengalaman beliau berada di Mesir ketika konflik Arab-Israel 1967.

Beliau menjelaskan sejarah membuktikan laluan maritim sentiasa menjadi sasaran kuasa besar. Jika dahulu Terusan Suez menjadi rebutan, hari ini Selat Melaka dan Laut China Selatan menjadi antara kawasan paling strategik dunia.

Pandangan itu disokong oleh Tan Sri Rastam Mohd Isa, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar dan bekas Pengerusi FGV Berhad.

Menurut beliau, ASEAN yang ditubuhkan pada 1968 perlu terus menjadi benteng kestabilan serantau. Dengan lebih 120,000 kapal dagang melalui Selat Melaka setiap tahun, sebarang konflik akan memberi kesan besar kepada ekonomi dunia.

Kerjasama maritim Malaysia-Indonesia

Dari kacamara Kapten Datuk (Dr.) Jaffar Lamri, pelaut berpengalaman, Pengerusi Kluster Perkapalan dan Logistik MPM serta Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT), berkongsi pengalaman lebih dua dekad dalam industri perkapalan.

Beliau menegaskan Malaysia dan Indonesia perlu terus memperkukuhkan kerjasama dalam pengurusan Selat Melaka, pembangunan logistik, keselamatan pelayaran dan teknologi maritim.

Kedaulatan memerlukan jati diri yang kukuh

Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Presiden Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK Malaysia) dan bekas Lembaga Pengarah MAS Berhad, berpandangan hubungan Malaysia-Indonesia akan menjadi lebih kukuh sekiranya kedua-dua negara berjaya memperkasakan jati diri nasional.

Beliau menarik perhatian bahawa Indonesia berjaya membina identiti nasional melalui Pancasila, manakala Malaysia perlu terus memperkukuhkan penghayatan Rukun Negara.

Pandangan itu diperkukuhkan oleh Prof. Dr. Azmi Hassan, pakar Geostrategi, Felo Kanan Akademi Nusantara dan penganalisis politik, yang menyifatkan cabaran di Laut China Selatan bukan sekadar isu keselamatan, malah turut menguji semangat patriotisme rakyat.

Beliau mencadangkan kerajaan memperbaharui usaha menghayati Rukun Negara bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan mempertahankan kedaulatan negara.

Ancaman maritim semakin kompleks

Rahim Zain, bekas Pegawai Kanan Agensi Pusat Kerajaan Persekutuan, membangkitkan isu rasuah dalam penguatkuasaan maritim (corruption at sea)  yang boleh melemahkan sistem keselamatan negara.

Menurut beliau, ancaman di laut kini melibatkan pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan yang memerlukan kerjasama antara agensi dan negara.

Sementara itu, Datuk Mejar Jeneral (B) Yusri Anwar, bekas pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan penggerak Budaya Jatidiri Bangsa, menegaskan pembinaan jati diri generasi muda perlu dijadikan agenda nasional.

Beliau berkata usaha tersebut tidak boleh dipikul kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan institusi pendidikan, NGO, masjid dan masyarakat.

Mengenai teknologi dan undang-undang antarabangsa

Prof. Dr. Ahmad Jais Alimin, pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), berpandangan Malaysia perlu memperkukuhkan keupayaan teknologi maritim tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada negara luar.

Sementara itu, Datuk Lukman Sheriff Alias, pakar Perlembagaan dan Hubungan Antarabangsa, mengingatkan bahawa perubahan landskap geopolitik dunia menuntut Malaysia memahami serta mempertahankan prinsip undang-undang antarabangsa.

Beliau turut menekankan kepentingan negara bersedia menghadapi bentuk peperangan moden termasuk peperangan tidak simetri (asymmetrical warfare).

Lima rumusan utama WIN Siri Ke-3

Pada sesi penutup, Datuk Salamon Selamat, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM), merumuskan lima dapatan utama wacana:

ASEAN perlu memperkukuhkan kerjasama keselamatan maritim bagi menghadapi persaingan kuasa besar.

Malaysia disaran memperkukuh penghayatan Rukun Negara sebagai asas pembinaan jati diri nasional. Kerjasama Malaysia-Indonesia dalam keselamatan, ekonomi dan pengurusan Selat Melaka perlu dipertingkatkan. Undang-undang antarabangsa mesti terus dihormati bagi menjamin keamanan rantau.

Semua dapatan WIN Ke-3 dicadangkan dikemukakan kepada kerajaan Malaysia, Indonesia dan negara-negara ASEAN sebagai input kepada pembentukan dasar.

Kesimpulan

Wacana Intelektual Nusantara Siri Ke-3 membuktikan keselamatan maritim bukan sekadar isu pertahanan, tetapi berkait rapat dengan ekonomi, diplomasi, teknologi, tadbir urus dan pembinaan jati diri bangsa.

Gabungan pandangan daripada bekas menteri, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar, pakar geostrategi, tokoh diplomasi, pakar perkapalan, bekas pegawai kanan kerajaan dan ahli akademik memberikan perspektif menyeluruh tentang cabaran yang sedang dihadapi ASEAN.

Kesimpulan besarnya jelas: keamanan Selat Melaka, kestabilan Laut China Selatan dan kekuatan ASEAN hanya dapat dipertahankan melalui kerjasama serantau yang erat, kepimpinan strategik serta pembinaan jati diri nasional yang kukuh.

Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang juga  pengendali WIN Ke-3.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img