![]()
TIADA apa yang mengejutkan apabila parti Bersatu di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kalah kesemua 24 kerusi ditandingi di PRN Negeri Sembilan, semalam.
Dalam PRN itu Bersatu yang merupakan komponen Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan bertanding solo menggunakan logo sendiri.
Daripada jumlah itu enam kerusi ditandingi oleh Sayap Bersekutu Bersatu (4 kerusi) dan Parti Urimai (tajaan) di dua kerusi menggunakan logo Bersatu. Penulis tidak kisah sangat enam kerusi tersebut kerana keenam-enam kerusi adalah kubu kuat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Keenam-enam kerusi itu ialah Jeram Padang yang dikuasai BN manakala lima lagi kerusi iaitu Nilai, Rahang, Sri Tanjung, Mambau dan Seremban Jaya adalah di bawah penguasaan kukuh DAP dan PKR, tetapi bagaimana dengan 18 kerusi yang ditandingi oleh Bersatu?
Daripada 24 kerusi itu, 23 calon hilang deposit termasuk pemimpin lantang dan Ketua Penerangan parti tersebut Tun Faisal Ismail Aziz yang tersungkur di DUN Sikamat dengan mendapat hanya 548 undi.
Turut tewas Calon Bersatu di DUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker yang juga Ketua Bersatu Negeri Sembilan dan penyandang kerusi itu hilang wang deposit kerana gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan (12.5%) daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira iaitu 25,379 undi.
Beliau hanya mendapat 1,985 undi, 22 calon lain turut hilang deposit. Bagaimanapun hanya Sri Sanjeevan di Jeram Padang (2,191 undi) tidak hilang deposit.
Tetapi persoalan apa nasib Bersatu selepas ini? Apa yang mahu diperkatakan bukan soal sayap bersekutu atau parti bersekutu dengan Bersatu tetapi Bersatu itu sendiri. Dengan keputusan kalah di Neger Sembilan 24-0 dan sebelum ini kecundang di Johor 56-0 pada 11 Julai, ia bererti Bersatu kini sudah tewas di 80 kerusi DUN di dua negeri dalam tempoh tidak sampai sebulan.
Penulis menghormati kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menegskan, akan MENELITI secara terperinci mengenai keputusan PRN NS itu.
Beliau berkata parti itu juga akan menjalankan BEDAH SIASAT bagi mengenal pasti LANGKAH STRATEGIK yang dapat memperkukuh perjuangan parti itu.
“Ini adalah kali pertama Bersatu menyertai pilihan raya dengan menggunakan simbol sendiri tanpa BERGANTUNG dan MENUMPNG kepada pihak lain.
“Keputusan di Negeri Sembilan menuntut Bersatu untuk mengambil tindakan yang berani bagi meningkatkan disiplin dalaman, bekerja dengan kuat dan membawa AGENDA PERUBAHAN yang dapat memberi manfaat terbaik untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Hakikatnya tidak perlu BEDAH SIASAT kerana masalah Bersatu adalah jelas. Aura Abah pada PRU-15 sudah pupus, kekuatan Bersatu yang selama ini BERGANTUNG dan MENUMPANG Pas untuk menang dalam pilihan raya sudah terbukti dan isyarat untuk melaksanakan AGENDA PERUBAHAN dengan LANGKAH STRATEGIK bagi memastikan Bersatu terus hidup perlu dilaksanakan.
Bersatu tidak boleh hidup dalam sindrom penafian. Bersatu tidak boleh lagi asyik menuding jari menyalahkan pihak lain atau lantang menghentam dan mengkritik parti lain tetapi bila bertanding dalam pilihan raya HILANG DEPOSIT. Cakap berdegar-degar, turun ke gelanggang pilih raya kalah terketar-ketar!
Ini adalah masa terbaik untuk Bersatu melakukan perubahan kepimpinan. Sebagai orang yang berpengalaman sebagai bekas Timbalan Presiden PKR dan bekas Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin harus menggerakkan arus perubahan dalam parti itu.
Bersatu tidak boleh lagi bergantung kepada Muhyiddin. Bukan beliau tidak layak berada dalam Bersatu, beliau layak kerana bekas Perdana Menteri itu adalah pengasas Bersatu tetapi era beliau untuk menjadi peneraju utama sudah berlalu.
Sebaliknya Azmin dan Datuk Dr.Radzi Jidin harus mempunyai keberanian untuk melakukan perubahan dalam kepimpinan Bersatu demi menyelamatkan masa depan parti tersebut. Sekarang bukan lagi masa untuk bernostalgia dengan kejayaan silam, mengungkit kisah lama dalam hubungan dengan Pas atau terus mahu merendah-rendahkan kewibawaan bekas Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Lihatlah apa yang berlaku di PRN Johor dan Negeri Sembilan, Bersatu hanya menjadikan Pas dan Hamzah sebagai modal berkempen akhirnya di Johor tersungkur, di Negeri Sembilan tersembam, kalau tak hati-hati ‘terkubur’ di Melaka bersama sejarah Hang Tuan.
Oleh itu Bersatu perlu membuat ketetapan dan pendirian politik yang jelas. Tak kan kepimpinan Bersatu hendak membiarkan 700,000 ahli 400 cawangan dan 186 cabang teraba-raba mencari hala tuju politik mereka.
Bersatu tidak perlu merintih nasib dalam Perikatan Nasional. Bersatu perlu tinggalkan Perikatan Nasional yang kini sudah mantap dengan gabungan Pas,Wawasan,Gerakan dan MIPP serta diperteguhkan melalui persefahaman dengan Barisan Nasional (BN).
Jadi Bersatu perlu meneruskan agenda untuk membuka ruang perbincangan bagi membentuk gabungan politik baharu yang berteraskan prinsip sederhana dan progresif. Atau mungkin juga satu lagi pilihan menjalin persefahaman dengan PH.
Jangan lagi membuang masa dengan menyerang PN kerana sudah terbukti ia kerja sia-sia. Tumpukan usaha memulihkan Bersatu yang semakin tak menentu supaya di Melaka nanti ’tidak menjadi tugu’.






