AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim yang dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu menyifatkan amanah diberikan bukanlah satu kemuliaan untuk dibanggakan.
Sebaliknya, kata beliau amanah besar dan penuh makna yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, kesetiaan, kejujuran, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab tinggi demi agama, bangsa, negeri serta seluruh rakyat Negeri Sembilan.
“Patik dengan penuh takzim dan rasa rendah diri terlebih dahulu merafak sembah menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas limpah perkenan dan kepercayaan yang telah dikurniakan kepada patik untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Pelantikan ini suatu amanah yang amat besar dan penuh makna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan taat setia di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sempena istiadat angkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti,Kuala Pilah , hari ini.
Turut menyaksikan istiadat itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al’Abidin.
Hadir sama Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari, Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Ab Hamid, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan wakil rakyat Negeri Sembilan.
Ismail berkata, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang telah menunaikan tanggungjawab demokrasi serta memberikan kepercayaan dan mandat kepada Barisan Nasional serta Perikatan Nasional melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, kelmarin.
“Kepercayaan dan mandat yang telah diberikan oleh rakyat merupakan suatu amanah yang amat besar. Patik menerima amanah ini dengan penuh rasa rendah diri dan kesyukuran serta menyedari bahawa kepercayaan rakyat bukanlah sekadar suatu penghormatan.
“Sebaliknya satu tuntutan untuk membuktikan bahawa kerajaan yang diberi mandat akan bekerja dengan bersungguh-sungguh, mendengar denyut nadi rakyat serta melaksanakan tanggungjawab secara adil, telus dan berkesan,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa amanah serta kepercayaan yang diberikan oleh rakyat akan sentiasa dipelihara dan dijunjung sebaik mungkin.
Katanya, seluruh barisan kepimpinan kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya untuk menjadi kerajaan yang mendengar, berkhidmat dan bekerja demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Negeri Sembilan.
“Pada kesempatan ini juga, patik ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun atas segala jasa, sumbangan, kepimpinan dan perkhidmatan bakti beliau sepanjang menerajui kerajaan negeri.
“Segala usaha, pengorbanan dan sumbangan yang telah dicurahkan dalam memacu pembangunan negeri, memperkukuh pentadbiran serta meningkatkan kesejahteraan rakyat merupakan suatu khidmat bakti yang amat dihargai dan akan sentiasa dikenang,” katanya.
Beliau berkata, asas pembangunan yang telah dibina akan menjadi landasan serta kesinambungan yang berharga dalam usaha meneruskan kemajuan dan kemakmuran Negeri Sembilan.
Menurutnya, beliau berjanji untuk memelihara kemuliaan institusi Diraja serta mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Patik juga akan sentiasa menjunjung titah, nasihat, pandangan serta tunjuk ajar Tuanku dalam melaksanakan segala urusan dan tanggungjawab pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.






