
SERAMAI 30 calon PRN Negeri Sembilan hilang deposit semalam selepas gagal meraih sekurang-kurangnya satu perlapan daripada jumlah keseluruhan undi.
Bernama melaporkan, 23 daripada 24 calon Bersatu hilang deposit, termasuk pemimpin seperti Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz di Sikamat yang mendapat 548 undi, dan Ketua Bersatu Negeri Sembilan Hanifah Abu Baker di Labu (1,985 undi).
Calon Pakatan Harapan (PH) di Palong, Zahin Zinal Abidin, menjadi calon tunggal gabungan itu yang turut hilang deposit.
Zahin hanya memperoleh 1,495 undi, berbanding calon Barisan Nasional (BN), Mustapha Nagoor yang meraih 15,197 undi, sekali gus bekas exco kerajaan negeri itu menang majoriti 13,702 undi.
Satu-satunya calon Bersatu yang tidak hilang deposit ialah Ketua Sayap Bersekutu, R Sri Sanjeevan, dalam saingan empat penjuru di Jeram Padang.
Calon BN, Zaidy Abdul Kadir meraih 6,854 undi bagi penggal kedua, mendahului calon PH G Manivannan dengan 2,372 undi. Sanjeevan memperoleh 2,191 undi, manakala calon Parti Orang Asli Malaysia, Dayana Dal, 179 undi.
Calon lain yang turut hilang deposit ialah Dayana, calon tunggal Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Tinagaran, serta empat calon bebas.






