Utamakan kesetiaan kepada negeri dan rakyat berbanding politik, peribadi – Tuanku Muhriz

SEMUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan diingatkan supaya mengutamakan kesetiaan kepada negeri dan rakyat mengatasi sebarang kepentingan politik serta peribadi.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, setiap wakil rakyat diberikan mandat besar untuk membawa suara, aspirasi, keperluan dan permasalahan rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN).

Baginda bertitah, tanggungjawab itu penting bagi memastikan setiap dasar, perancangan dan keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan kepentingan rakyat.

“Justeru, setiap tindakan dan pertimbangan hendaklah sentiasa berpaksikan kebajikan rakyat serta kemajuan Negeri Sembilan. Kesetiaan dan komitmen kamu hendaklah sentiasa diutamakan kepada negeri dan rakyat yang diwakili, mengatasi sebarang kepentingan politik dan peribadi,” titah baginda, lapor Buletin TV3.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.

Pada istiadat itu, baginda berkenan melantik Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Tuanku Muhriz bertitah, Negeri Sembilan memerlukan barisan pemimpin yang memiliki integriti tinggi, menjunjung maruah serta berpegang teguh kepada prinsip dan nilai murni.

Baginda menegaskan setiap amanah yang dipikul hendaklah dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab, kejujuran dan keikhlasan.

“Sebarang penyalahgunaan kuasa, kedudukan atau kepercayaan yang diberikan bukan sahaja akan mencemarkan institusi yang diwakili, malah boleh mengakibatkan ketidakadilan. Ia juga boleh menjejaskan keberkesanan dasar yang dirangka demi kepentingan rakyat dan kemajuan negeri,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut menaruh kepercayaan kepada Ismail untuk terus berkhidmat dengan bersungguh-sungguh dan jujur dalam menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Baginda berpesan supaya kecemerlangan yang ditunjukkan Ismail pada penggal lalu diteruskan, selain memperbaiki sebarang kelemahan yang ada.

Tuanku Muhriz turut mengingatkan Menteri Besar dan semua ADUN supaya sentiasa menghormati serta taat setia kepada institusi diraja, selain melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan.

Pada masa sama, mereka perlu mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img