PELAKON dan usahawan, Abby Abadi berdepan detik mencemaskan apabila kereta dinaikinya dirempuh sebuah kenderaan dari arah belakang ketika dalam perjalanan pulang dari Singapura ke ibu negara, awal pagi tadi.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 49, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang mencari lokasi sesuai untuk berhenti menunaikan solat Subuh dalam keadaan jalan yang masih gelap.
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, beliau mengakui pada mulanya menyangka bunyi dentuman kuat yang didengari berpunca daripada tayar kenderaannya pecah.
“On the way (dalam perjalanan) balik KL (Kuala Lumpur) dari Singapura, leka mencari tempat nak solat Subuh, tiba-tiba ada yang langgar dari belakang. Memang terkejut sangat-sangat. Mula-mula ingat tayar pecah.
“Berhenti tepi, ada abang motosikal datang beritahu ada kereta lain langgar. Tetapi serius tak sedar sebab dalam gelap,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Beliau turut memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan bahagian belakang kenderaannya mengalami kerosakan teruk akibat pelanggaran itu.
Menurut Abby, dia terkilan apabila pemandu yang melanggar kenderaannya hanya memeriksa keadaan kereta secara ringkas sebelum memintanya membuat tuntutan insurans.
“Pendekkan cerita, pemandu kereta yang langgar itu datang. Tengok itu ini, lepas itu dia cakap ‘claim’ insurans… nak buat macam mana lagi.
“Lepas itu dia kata ‘okaylah ya kak’ dan dia beredar.
“Kereta saya tak boleh jalan, terkapai-kapai tengah lebuh raya ini tunggu bantuan PLUS. Semudah itu saja ya kalau dah langgar orang?” luahnya.
Dalam masa sama, Abby berkata, dia sempat mendapatkan maklumat penting pemandu terbabit termasuk nombor pendaftaran kenderaan dan nombor telefon bagi memudahkan tindakan susulan.
Menerusi perkongsian di Instagram Story pula, Abby memaklumkan pemandu berkenaan mengakui mengantuk ketika kejadian berlaku.
Bagaimanapun, beliau tidak mengalami sebarang kecederaan dan menzahirkan rasa syukur kerana insiden itu tidak meragut nyawa atau mengakibatkan kemalangan yang lebih serius.






