BARISAN Nasional (BN) akan berusaha memastikan Kerajaan Perpaduan terus kekal stabil sehingga tamat penggal pentadbiran meski pun dua keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini menunjukkan momentum positif kepada parti komponen itu.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, selaras dengan persefahaman politik yang sudah dipersetujui sebelum ini antara BN dan gabungan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan, BN akan memelihara kerjasama tersebut.
“Seperti berulang kali ditegaskan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kerajaan akan terus memegang janji bagi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan baik sehingga penghujung penggal,” katanya selepas Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia MADANI di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Putrajaya hari ini.
BN muncul pemenang terbesar dalam PRN Negeri Sembilan Ke-16 selepas memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Sabtu lalu.
Sebelum itu, parti komponen tersebut berjaya mengekalkan status quo di DUN Johor dalam PRN Johor Ke-16 pada 11 Julai lalu apabila memenangi 48 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Zambry dalam pada itu mengharapkan trend sokongan rakyat terhadap BN yang bermula di Johor dan diteruskan di Negeri Sembilan itu dapat dikekalkan pada pilihan raya akan datang.
Selain PRN Melaka yang akan datang katanya, momentum sama juga diperlukan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Zambry berkata, persefahaman diwujudkan antara parti adalah berasaskan persefahaman politik dan sebarang keputusan berkaitan kerjasama pada masa depan akan dibincangkan di peringkat tertinggi BN serta UMNO.
Beliau berkata, kemenangan BN di Johor dan Negeri Sembilan menjadi suntikan semangat kepada parti, namun semua pihak supaya diingatkan tidak terlalu yakin atau bersikap angkuh menjelang PRU-16.
Menurutnya, ketika berdepan PRN Negeri Sembilan, BN mengambil pendekatan sebagai ‘underdog’ seperti sering diingatkan Ahmad Zahid, selain mengamalkan kempen sederhana tanpa menyerang pihak lawan.
“Kita menggunakan pendekatan sederhana dan memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan kestabilan. Sebab itu kita melihat rakyat memberikan sokongan kepada BN,” katanya.





