Lelaki hilang lebih seminggu ditemukan maut dalam longkang di WCE

SEORANG lelaki yang dilaporkan hilang sejak 29 Julai lalu ditemukan meninggal dunia dalam longkang di Kilometer 155.7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan di Bagan Datuk semalam, selepas terlibat dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali berkata, rangka lelaki berusia 35 tahun itu ditemukan selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas di lokasi kejadian.

GAMBAR: Facebook Info Kemalangan & Bencana Malaysia

Menurut beliau, polis menerima maklumat mengenai penemuan itu pada jam 3.39 petang selepas seorang pekerja pembersihan yang sedang memotong rumput di lokasi tersebut terhidu bau busuk sebelum menemukan rangka manusia bersama sebuah motosikal di dalam longkang.

“Hasil siasatan awal, pihak polis percaya semasa kejadian mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Teluk Intan menghala ke Sabak Bernam sebelum terbabas ke kiri jalan dan terjatuh ke dalam longkang.

“Mangsa tidak mendapat bantuan sehingga mayatnya ditemukan. Turut ditemukan bersamanya adalah barang peribadi seperti telefon bimbit, pasport Malaysia dan wang tunai milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

GAMBAR: Facebook Info Kemalangan & Bencana Malaysia

Mohammad Ali berkata, semakan lanjut mendapati satu laporan polis berhubung kehilangan mangsa telah dibuat oleh ahli keluarganya di Balai Polis Teluk Intan semalam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Normah Abu Hassan di talian 010-536 4619.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img