Kastam rampas rokok dan arak RM700,000 empat ditahan

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai menerusi empat serbuan berasingan di Johor dan Negeri Sembilan dengan penahanan empat suspek serta rampasan hampir RM700,000.

Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, semua suspek tempatan berusia antara lingkungan 20-an hingga 60-an itu ditahan dalam operasi yang dijalankan di Batu Pahat, Muar dan Bahau sepanjang Jun hingga awal Julai lalu.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan membabitkan 261,390 batang rokok tidak bercukai dan 895.67 liter minuman keras.

“Tangkapan pertama dilakukan pada 11 Jun lalu menerusi serbuan di sebuah rumah di Taman Bahagia, Batu Pahat yang membawa kepada rampasan 22,560 batang rokok tidak bercukai, 394.42 liter minuman keras serta sebuah Toyota Vellfire.

“Serbuan kedua pada 25 Jun di Kampung Parit Kasim, Batu Pahat pula menemukan 134,430 batang rokok dan 501.25 liter minuman keras yang disembunyikan di bawah lantai rumah,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Batu Pahat, hari ini, lapor Harian Metro.

Menurutnya, operasi diteruskan pada 6 Julai apabila anggota penguat kuasa menahan sebuah Proton X70 di Jalan Kim Kee, Muar dan merampas 39,600 batang rokok pelbagai jenama yang disorok di tempat duduk belakang serta ruang but kenderaan.

Katanya, serbuan keempat di Bahau, Negeri Sembilan pula membawa kepada rampasan 64,800 batang rokok tidak bercukai selain menyita sebuah kereta Mercedes-Benz CLA 200.

Beliau berkata, siasatan mendapati semua suspek menggunakan modus operandi membawa masuk barangan seludup sebelum menjadikan rumah dan kenderaan sebagai stor simpanan sementara sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“JKDM menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan bagi membantu membanteras jenayah yang boleh mengancam keselamatan dan ekonomi negara,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img