JIM tumpas sindiket ‘Flying Pasport’, tiga ditahan

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket ‘Flying Pasport’ yang dipercayai memalsukan rekod pergerakan keluar masuk warga asing menerusi sistem imigresen dengan penahanan tiga individu dalam satu operasi di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 33 hingga 41 tahun itu ditahan dalam operasi yang bermula jam 10 pagi hasil tindakan susulan siasatan Op Crack yang dilaksanakan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Johor.

“Hasil serbuan itu, pasukan operasi turut menyita beberapa telefon bimbit, kunci premis, barang kemas, cap keselamatan imigresen serta wang tunai berjumlah RM20,000.

“Siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan modus operandi mengumpulkan pasport milik warga asing tanpa kehadiran fizikal pemilik dokumen di pintu masuk negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, salinan muka hadapan pasport kemudiannya dihantar oleh ejen sindiket menerusi aplikasi WhatsApp kepada individu yang bersekongkol dengan mereka untuk diimbas bagi mewujudkan rekod pergerakan palsu dalam sistem JIM.

Katanya, sindiket dipercayai mengenakan bayaran sebanyak RM700 bagi setiap pasport warga asing yang menggunakan perkhidmatan itu.

“Kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(h) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Pejabat Imigresen bagi tindakan lanjut,” katanya.

Zakaria berkata, JIM akan meneruskan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket berkenaan.

“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti menyalahi undang-undang demi memastikan keselamatan, kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img