KERAJAAN MADANI akan terus memastikan keperluan semua kaum dan aliran pendidikan di negara ini, diberi perhatian secara seimbang tanpa meminggirkan mana-mana pihak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pemberian bantuan kepada institusi pendidikan Islam, bukan bermakna kerajaan mengabaikan sekolah vernakular, sebaliknya peruntukan kepada sekolah Cina dan Tamil yang telah diluluskan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Negara ini kalau nak aman, kena bagi dan jaga semua. Anak-anak sekolah pondok, maahad tahfiz, ramai yang terbiar, tak ada bantuan, maka kita tingkatkan bantuan.
“Jadi sekali lagi saya tekankan, untuk program dan bantuan sekolah Cina dan Tamil, kita bagi dah jadual dalam dua minggu lagi diumumkan di Kuala Lumpur,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Gelombang MADANI Masjid Tanah, di Kompleks Sukan Masjid Tanah di Melaka hari ini.
Anwar berkata pendekatan itu, mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap lapisan masyarakat menerima perhatian sewajarnya, sekali gus mengekalkan keamanan dan keharmonian negara yang berbilang kaum serta agama.
Beliau berkata Malaysia merupakan contoh sebuah negara majmuk yang berjaya mengekalkan perpaduan, apabila rakyat daripada pelbagai latar belakang dapat hidup dalam suasana saling menghormati.
“Kita ini aman. Bayangkan, ada Cina, ada India dan ramai juga Melayu di sini, ada sekolah agama, maahad tahfiz, tapi dengan aman. Orang hormat satu sama lain.
“Kalau di negeri dan negara lain, susah. Negara yang pelbagai kaum nak berhimpun macam ini, kerana syak wasangka, benci, tak percaya dan ada permusuhan. Akhirnya negara jadi korban,” kata Anwar.
Mengulas konsep “ummatan wasatan” yang terkandung dalam Surah Al-Baqarah ayat 143, Perdana Menteri berkata umat Islam perlu menjadi masyarakat yang seimbang dari segi keimanan, ilmu, akhlak serta hubungan sesama manusia dan alam sekitar, agar mampu menjadi contoh terbaik kepada seluruh masyarakat.
“Kalau betul perangai kita baik, akhlak kita baik, negeri kita bersih daripada penyelewengan dan rasuah, hubungan kita dengan orang Islam baik, hubungan kita dengan orang bukan Islam kita hormati, dengan persekitaran, bukit-bukau, pohon-pohon tidak kita musnahkan dengan sesuka hati, baru kita seimbang.
“Inilah baru menjadikan kita ini contoh kepada manusia. Nak tengok bersih, tengok kita. Nak tengok tidak rasuah, tengok kita. Nak tengok perjalanan negeri yang cekap, tengok kita sebagai contoh. Ini yang disebut contoh yang baik. Bukan benci dan permusuhan, bukan menghina orang,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata usaha memperkasakan institusi pendidikan Islam turut dipertingkatkan sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan, selepas bantuan kepada sekolah agama rakyat pernah dihentikan sebelum ini.
“Pada 2022 saya ambil alih, Kerajaan Perpaduan. Pada 2023 saya mula bagi bantuan dan pada 2024 kita tingkatkan.
“(Kita) baiki sekolah pondok, bagi latihan AI dan komputer di sekolah pondok…Kalau tidak, kita ada sekolah lain seperti sekolah Cina, sekolah Tamil yang diurus baik, sekolah pondok ketinggalan. Tak boleh,” kata beliau.
Pada majlis sama, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan keseluruhan RM1.29 juta bagi membaik pulih insfrastruktur 13 institusi pendidikan Islam di Melaka.
Antara institusi yang menerima peruntukan ialah Madrasah Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Kota Melaka (RM250,000), Sekolah Rendah Arab Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Pernu (RM200,000), Sekolah Menengah Arab JAIM Al-Ahmadiah Al-Syafi’iyah Sayyidina Khadijah, Jasin (RM160,000), Sekolah Agama Rakyat JAIM Durian Tunggal (RM140,000) dan Sekolah Agama Rakyat JAIM Taman Maju (RM100,000).






