
APABILA Nurul Izzah meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR, penulis tertanya-tanya siapakah yang layak menggantikan beliau. Untuk menandingi rekod politik dan pencapaian beks Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidaklah sukar.
Ia kerana sejak tewas di Parlimen Permatang Pauh pada PRU-15, nama Nurul Izzah bagaikan tenggelam. Biarpun masih menjadi Naib Presiden PKR dan seterusnya melakukan kejutan mencabar Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden dan menewaskan Ahli Parlimen Pandan itu, tetapi bintang Nurul tidak terserlah.

Oleh itu apabila wanita berusia 45 tahun tersebut memutuskan meletak jawatan Timbalan Presiden PKR, ia bukanlah satu kejutan sebaliknya dianggap ‘tindakan wajar’ memandangkan Nurul Izzah dilihat tidaklah memberi apa-apa impak kepada PKR ketika berada di situ.
Apapun penulis hormati keputusan Nurul Izzah, beliau lakukan secara sukarela dengan atas kehendak sendiri dan ia diterima secara terbuka oleh bapanya Anwar Ibrahim. Biarlah Nurul Izzah uruskan apa yang patut diuruskan manakala soal PKR biarlah ia diuruskan oleh pihak lain.
Setakat ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail akan menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden. Penulis tertanya-tanya juga kenapa Saifuddin? Soal ini juga ditanya oleh banyak pihak termasuk dalam PKR.
Mereka hairan kenapa tidak diberikan kepada Amirudin Shari? Bukankah beliau adalah Naib Presiden yang menang dengan undi tertinggi iaitu 46,075 undi dan kini berada dalam kedudukan nombor 3 hieraki parti selepas Presiden dan Timbalan Presiden?
Apakah ia bermaksud selepas ini Saifuddin yang tewas dua kali dalam pemilihan bagi jawatan Timbalan Presiden iaitu pada 2016 di tangan Mohamed Azmin Ali dan 2022 kecundang kepada Rafizi Ramli akan dipilih menduduki jawatan itu bagi menggantikan Nurul Izzah?
Hakikatnya, pada pandangan penulis, Amirudin yang kini menjadi Pengarah Pilihan Raya PKR sepatutnya dilantik memangku atau melaksanakan tugas Timbalan Presiden PKR. Ia memandangkan dari segi rekod perjalanan politik termasuk dalam pilihan raya Amirudin lebih baik berbanding Saifuddin begitu juga dalam pemilihan parti.
Amirudin sudah membuktikan kewibawaan beliau memimpin Selangor sebagai Menteri Besar. Beliau menang dalam pilihan raya di dua kerusi iaitu DUN Sungai Tua dan Parlimen Gombal. Keadaan itu berbeza dengan Saifuddin yang kalah dalam pilihan raya.
Oleh itu untuk memberi keyakinan kepada pengundi dan penyokong, penulis berpendapat adalah wajar selepas Kongres PKR 14 Ogos ini, Amirudin diberi peranan sebagai orang nombor 2 dalam parti manakala Saifuddin Nasution ‘tidak harus diganggu’ untuk menebuskan kekalahan di Kedah, lagipun khabarnya PKR pun bercita-cita hendak tawan Kedah maka sesuai sangatlah kalau Saifuddin Nasution jadi ‘panglimanya’.

- Bersatu tak perlu ‘meroyan’….
DALAM PRN Negeri Sembilan, Bersatu kalah kesemua 24 kerusi yang ditandinginya. Sebelum itu Bersatu juga tersungkur di Johor, kalah di kesemua 56 kerusi. Kalau dicampur-campurkan keseluruhannya dalam dua PRN di dua negeri, Bersatu tewas 80-0.
Agak perit bila di Negeri Sembilan, Parti Wawasan Negara (WAWASAN) yang ditubuhkan oleh bekas Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainuddin menang tiga daripada empat kerusi yang ditandingi parti itu manakala Pas menang empat daripada lima kerusi.
Maknanya kedua-dua parti yang mewakli Perikatan Nasional (PN) menang tujuh kerusi dan memainkan peranan penting membantu Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa di Negeri Sembilan.
Bersatu pula walaupun masih anggota PN membuat keputusan bertanding solo guna lambang sendiri di 24 kerusi, hasilnya kalah di kesemua kerusi itu dan 23 daripad 24 calonnya termasuk Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz hilang deposit.
Keputusan itu membuktikan bahawa Bersatu tidak akan ke mana tanpa bekerjasama dengan parti lain dalam PN terutamanya Pas. Terbukti Bersatu kalah teruk dalam dua PRN.
Jadi ada yang dok bertanya apakah kenyataan Azmin Ali yang bertegas Bersatu tidak boleh disingkirkan daripada PN secara automatik bermaksud Bersatu tidak yakin bergerak solo atau menjalin hubungan dengan parti lain.
Sepatutnya apabila Pas dan Wawasan sudah mencapai kata sepakat bekerjasama tanpa Bersatu maka Bersatu seharusnya cari jalan lain, tak payah dok ‘meroyan’ sangat. Buatlah kerjasama politik baru dengan parti-parti khususnya dalam IPR.
Buktikan bahawa Bersatu boleh hidup sendiri tanpa ehsan Pas dan Wawasan. Bagi penulis Bersatu sudah tak ada masa depan dalam PN, lebih baik ‘angkat kaki’ saja. Bila pilihan raya, calon-calon Bersatu lawan calon PN…biar rakyat tentukan walaupun keputusannya kita dah boleh jangka.
Tak payah merintih tak akan keluar daripada PN kecuali ada keputusan sebulat suara anggota PN memecat Bersatu. Azmin sebagai pemimpin harapan Bersatu, buatlah strategi untuk parti itu bangkit semula. Jika dalam PRN Melaka pun bawa balik ’tangan kosong’…maknanya Bersatu sudah tak ada masa depan.






