Konvensyen Internet Selamat perkukuh usaha perkasa ibu bapa, pendidik,PIBG

MENTERI Komunikasi Datuk  Seri Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, anjuran Yayasan GoStrong Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Kuala Lumpur.

Konvensyen yang menghimpunkan hampir 500 peserta terdiri daripada ibu bapa, guru, kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pentadbir sekolah, wakil agensi kerajaan, rakan strategik serta komuniti itu menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama semua pihak dalam meningkatkan literasi digital dan membudayakan penggunaan Internet yang selamat, beretika serta bertanggungjawab.

 MCMC dalam kenyataan berkata, penganjuran konvensyen ini juga memperkukuh usaha memperkasa peranan ibu bapa, pendidik dan PIBG sebagai barisan hadapan dalam membimbing anak-anak menggunakan Internet secara selamat, sekali gus berdepan ancaman digital yang semakin kompleks seperti buli siber, penipuan dalam talian, eksploitasi digital serta penyebaran kandungan yang memudaratkan.

‘’Bertemakan “Internet Selamat, Tanggungjawab Semua”, konvensyen ini menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama antara ibu bapa, pendidik, PIBG, agensi kerajaan dan komuniti dalam meningkatkan literasi digital, memperkasa peranan keluarga sebagai barisan hadapan perlindungan digital serta membentuk budaya penggunaan Internet yang selamat, beretika dan bertanggungjawab,’’ kata kenyataan itu.

MCMC percaya bahawa perlindungan digital yang berkesan bermula daripada institusi keluarga.

‘’Melalui pendekatan ini, masyarakat diharap dapat melahirkan generasi yang lebih celik digital, berdaya tahan dan bertanggungjawab, sekali gus mengurangkan risiko jenayah siber, meningkatkan keselamatan kanak-kanak dalam talian serta memperkukuh ekosistem digital yang lebih selamat, inklusif dan dipercayai demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara,’’ kata kenyataan itu.

Menurut MCMC, Penganjuran Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 yang kini memasuki siri ketiga merupakan kesinambungan daripada konvensyen terdahulu yang telah diadakan di Pahang dan Perak.

‘’ Siri ini meneruskan komitmen untuk memperkasa ibu bapa dan PIBG sebagai barisan hadapan dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman digital, di samping memperkukuh kerjasama antara sekolah, komuniti dan agensi berkaitan ke arah membentuk ekosistem keselamatan digital yang lebih selamat dan berdaya tahan.

‘’Konvensyen ini akan diteruskan di Johor, Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mencapai sasaran memperkasa lebih satu juta rakyat Malaysia sepanjang tahun 2026 dengan pengetahuan dan pemahamanmengenai keselamatan dalam talian, termasuk penipuan dalam talian, buli siber, had umur penggunaan media sosial serta eksploitasi dan penganiayaan seksual kanak-kanak,’’ kata MCMC.

Seiring komitmen tersebut, MCMC akan terus memperluas program advokasi dan literasi digital, memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai pihak, serta melaksanakan fungsi pengawalseliaan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, dipercayai dan inklusif untuk semua, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan.

Turut hadir ialah Pengarah Kanan Pejabat Wilayah Tengah MCMC, Mohamad Rizal Ahmad serta Pengarah Yayasan GoStrong Malaysia, Mohd Faizal Othman.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img